Read Time:1 Minute, 40 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan untuk meneliti dan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sebagai langkah memperkukuh ekosistem universiti awam agar terus relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, setiap pembaharuan dalam sektor pendidikan tinggi perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan kualiti pendidikan, tadbir urus universiti, pembangunan mahasiswa serta keupayaan institusi pengajian tinggi melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti dan kompeten.
Menurut beliau, reformasi yang dirancang juga perlu memastikan graduan mempunyai kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan masyarakat yang semakin kompleks serta dinamik.
“Dalam konteks Sabah, usaha ini amat penting kerana pembangunan negeri memerlukan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang strategik termasuk sektor profesional, perkhidmatan awam, industri, teknologi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, selaras dengan perkembangan semasa, UMS akan terus memperkukuh pengalaman pembelajaran mahasiswa menerusi penglibatan lebih aktif bersama industri, pembangunan kepimpinan, penguasaan kemahiran digital, keusahawanan serta pendedahan kepada cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran dan keupayaan untuk memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negeri dan negara sebaik menamatkan pengajian.
Pada masa sama, Dr. Kasim berpandangan bahawa sebarang reformasi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara teratur, inklusif dan seimbang dengan mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan termasuk mahasiswa, universiti, kerajaan, industri serta masyarakat.
“Pada akhirnya, ukuran kejayaan sesuatu reformasi pendidikan tinggi adalah sejauh mana ia mampu membantu melahirkan graduan berkualiti dan memperkasa modal insan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa UMS akan terus memainkan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjadi pemacu ilmu, bakat dan inovasi sejajar dengan slogan universiti itu, ‘The Brain of Borneo’.
“UMS komited untuk menyokong agenda Sabah Maju Jaya melalui pembangunan modal insan yang berkualiti, sekali gus menyumbang kepada pembinaan Sabah yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera,” katanya.






