Read Time:1 Minute, 43 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Penyertaan atlet muda dalam kejohanan sukan persahabatan BIMP-EAGA 2026 berupaya meningkatkan keyakinan atlet bagi menghadapi persaingan lebih mencabar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peluang berentap dengan atlet dari negara luar memberikan pengalaman berharga kepada peserta tempatan dalam mengukur kemampuan serta tahap prestasi masing-masing.

Katanya, pendedahan menerusi kejohanan itu penting bagi membolehkan atlet Sabah membina keyakinan, selain mempersiapkan diri menghadapi pertandingan yang lebih kompetitif pada masa hadapan.
Menurutnya, pengalaman bersaing dengan atlet dari negara lain juga dapat membantu peserta memahami tahap persaingan sukan di peringkat serantau, sekali gus menjadi persediaan sebelum melangkah ke kejohanan lebih tinggi.
“Ini merupakan satu proses pendedahan yang dapat meningkatkan keyakinan mereka apabila bertanding di peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Malaysia (Sabah) sempena Kejohanan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA 2026 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Nizam berkata, kejohanan itu turut memberi manfaat kepada pembangunan sukan negeri kerana majoriti atlet yang mengambil bahagian terdiri daripada golongan muda berusia bawah 20 tahun.
Katanya, peluang seperti itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh atlet untuk menguji kemampuan, memperbaiki kelemahan serta mendapatkan pengalaman pertandingan yang sukar diperoleh menerusi latihan biasa.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap kemampuan atlet Sabah berdasarkan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan sepanjang tahun ini, khususnya menerusi pencapaian dalam Sukan Malaysia (SUKMA).
Katanya, kejayaan atlet negeri menyumbangkan pingat emas kepada negara juga membuktikan Sabah mempunyai bakat sukan yang berpotensi untuk terus diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau berharap semua atlet yang mewakili Sabah dapat memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang kejohanan, selain mengekalkan disiplin dan semangat kesukanan ketika berdepan pencabar dari luar negara.
Kejohanan Persahabatan BIMP-EAGA edisi ke-12 itu akan berlangsung dari 23 hingga 26 November ini di Kota Kinabalu dan Penampang, membabitkan sembilan pasukan dari Sabah, Filipina, Brunei, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Secara keseluruhan, lebih 1,000 peserta termasuk atlet, jurulatih, pegawai dan pengurusan pasukan dijangka menyertai kejohanan berkenaan. – SABAH MEDIA





