Read Time:1 Minute, 14 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, PH Sabah turut mengenal pasti beberapa kerusi lain yang berpotensi untuk ditandingi tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan komponen dalam kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya, kerusi berpotensi itu akan dibawa ke peringkat rundingan bersama pihak yang berminat menjalin kerjasama politik menjelang PRU16.
Ditanya mengenai kawasan yang sedang diteliti, Mustapha memberi bayangan bahawa antara kerusi berkenaan ialah kawasan yang tidak dimiliki Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengulas hubungan politik antara PH dan GRS, beliau berkata kerjasama kedua-dua gabungan itu kekal kukuh, khususnya di peringkat negeri dan Persekutuan.
Katanya, meskipun terdapat pelbagai pandangan mengenai kemungkinan kerjasama dengan gabungan lain, hubungan PH dan GRS ketika ini berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Mustapha berkata persiapan menghadapi PRU16 sedang diperkukuh menerusi usaha menyelaraskan jentera parti komponen bagi meningkatkan kekuatan gabungan berkenaan.
“Kita tumpukan dahulu kepada tiga kawasan ini, kemudian kita akan bergerak ke beberapa Parlimen lain yang dikenal pasti berpotensi,” katanya.
Beliau berkata, PH membuat persiapan berdasarkan jangkaan pilihan raya mungkin berlangsung tahun hadapan, namun keputusan mengenai pembubaran Parlimen terletak kepada Perdana Menteri.
Mengenai kerjasama dengan GRS bagi menghadapi PRU16, Mustapha berkata perbincangan rasmi masih belum diadakan, namun perbincangan tidak rasmi sudah berlangsung.





