Read Time:2 Minute, 15 Second
TAWAU: Kerajaan Negeri komited meletakkan agenda perlindungan wanita sebagai antara keutamaan tertinggi dalam usaha memperkasa kesejahteraan kaum hawa di Sabah.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, pelbagai program dan inisiatif terus dilaksanakan bagi melindungi wanita daripada menjadi mangsa keganasan, selain memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperkasakan rangkaian sokongan tempatan menerusi pelbagai program kesedaran undang-undang, sokongan psikologi serta penyediaan perlindungan sementara yang selamat kepada mangsa yang memerlukan.
Katanya, sebuah Pusat Bantuan Guaman Wanita telah ditubuhkan di Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sejak 2018 bagi menyediakan perkhidmatan guaman secara percuma kepada wanita tempatan yang memerlukan bantuan.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menguar-uarkan inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kepada semua lapisan masyarakat.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan dana serta sokongan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) wanita di Sabah supaya dapat bergerak aktif di peringkat akar umbi.
“Kita mahu memastikan struktur sokongan di peringkat negeri sentiasa bersiap siaga, mudah diakses dan responsif terhadap sebarang keperluan yang dihadapi oleh kaum wanita, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Advokasi@KRT dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Rina turut menyeru seluruh masyarakat agar menentang sebarang bentuk keganasan dan penindasan terhadap wanita kerana isu berkenaan memberi kesan besar kepada kesejahteraan sosial serta keharmonian institusi kekeluargaan.
“Kita tidak lagi mahu berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan dalam rumah tangga kerana kita sentiasa percaya bahawa pemerkasaan wanita dan keharmonian keluarga adalah teras kepada kestabilan sesebuah negeri.
“Jika sesebuah institusi kekeluargaan itu goyah, kesannya akan meresap ke dalam struktur masyarakat. Justeru, kehadiran kita di sini adalah satu langkah intervensi awal yang amat penting dalam membina kesedaran di peringkat akar umbi.
“Keganasan rumah tangga bukan lagi isu yang boleh dianggap sebagai urusan peribadi sesebuah keluarga. Sebaliknya, ia merupakan isu sosial yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat, pembangunan modal insan serta masa depan generasi akan datang.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap mangsa mengetahui hak mereka, berani mendapatkan bantuan dan tidak berdepan dengan cabaran tersebut secara bersendirian,” ujarnya.
Pada program itu, Rina turut menyampaikan sijil penghargaan dan plak kepada agensi pelaksana serta pempamer yang bekerjasama menyokong agenda perlindungan wanita dan kesejahteraan keluarga.
Antara agensi terlibat ialah Rumah Perlindungan Wanita Kota Kinabalu, Bahagian Derma Organ dan Fisioterapi Hospital Tawau, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit; Pengarah JHEWA, Haslina Ismail; serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.






