Read Time:2 Minute, 13 Second
TAWAU: Program Bayu Kasih 6.0 menerusi kerjasama Pertubuhan Iman Care dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan menyumbangkan sebanyak 16,000 naskhah Al-Quran kepada sekolah menengah, rendah dan tadika PASTI serta anggota keselamatan di daerah Kalabakan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, sumbangan wakaf Al-Quran itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pertubuhan Iman Care yang telah menyumbangkan lebih 100,000 naskhah Al-Quran sejak program berkenaan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Iman Care yang berpangkalan di Terengganu kerana meneruskan usaha kebajikan ini dengan menjangkau daerah Kalabakan bagi menyampaikan sumbangan kepada penerima.
“Sumbangan kali ini melibatkan kira-kira 20 sekolah rendah dan menengah serta 10 tadika PASTI di Parlimen Kalabakan serta anggota keselamatan,” katanya pada sidang media Program Bayu Kasih 6.0 di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan, Jalan Utara Baru, Tawau, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Iman Care, Ustaz Mohd Nasrun Abdullah; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau (Sektor Pembangunan Murid), Sufriady Istar serta wakil-wakil penerima.
Andi Muhammad Suryadi berkata, pengagihan sumbangan akan diadakan pada ke sekolah-sekolah yang terletak jauh di kawasan Parlimen Kalabakan dengan bantuan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan bagi memastikan proses penghantaran berjalan lancar.
Sehubungan itu, beliau berharap sumbangan wakaf Al-Quran itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh pendidikan agama, memelihara warisan Islam serta memperluas usaha dakwah dalam kalangan masyarakat setempat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan mengambil inisiatif membantu kira-kira 1,000 rumah di Pulau Sebatik, melalui agihan tiga karton air bagi setiap rumah bermula minggu hadapan.
Andi Muhammad Suryadi berkata, walaupun keadaan cuaca di Tawau menunjukkan hujan, situasi berbeza di Pulau Sebatik apabila paras air Empangan Wallesbay masih berada pada tahap sederhana dan belum mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.
“Saya berharap usaha Jabatan Air Sabah menerusi agihan bekalan air dan penghantaran dari rumah ke rumah dapat diteruskan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.” ujarnya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan perkembangan projek Empangan Cinta Mata yang dijangka siap pada 2028, termasuk cadangan pembinaan paip air bawah tanah dari empangan berkenaan bagi menangani masalah bekalan air di Pulau Sebatik secara lebih menyeluruh.
Katanya, masalah kekurangan air yang berulang setiap kali musim kemarau memerlukan penyelesaian jangka panjang, termasuk penambahan kapasiti penyimpanan air serta penambahbaikan infrastruktur sedia ada.
Mengulas cadangan penggunaan teknologi penyahgaraman air laut atau desalination plant, beliau berkata teknologi tersebut memerlukan kos yang tinggi, manakala bagi penyelesaian jangka pendek, pihak kerajaan telah melaksanakan usaha membaiki telaga sedia ada untuk kegunaan penduduk kampung.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan air telaga perlu dipantau secara berkala dari segi kualiti dan keberkesanan, memandangkan penduduk ketika ini masih bergantung kepada bekalan air yang disalurkan Jabatan Air Sabah.





