Read Time:1 Minute, 29 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu baki bayaran interim sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan diselesaikan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember ini.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, penyelesaian bayaran itu penting bagi membolehkan keseluruhan RM1.5 bilion dimasukkan dalam hasil negeri untuk dibelanjakan bagi kepentingan rakyat menerusi Belanjawan 2027.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya, bayaran RM600 juta sebelum ini sudah diselesaikan, manakala baki RM900 juta kini dalam proses akhir di peringkat Persekutuan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, proses pewartaan bagi baki bayaran itu telah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan kini hanya melibatkan urusan teknikal sebelum dibentangkan kepada ahli Parlimen untuk makluman tanpa memerlukan perbahasan.
Mustapha berkata, beliau sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, bagi menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri supaya pembayaran berkenaan dipercepatkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PH Sabah mencadangkan supaya mekanisme pembayaran interim pada masa akan datang dilaksanakan secara progresif dengan peningkatan nilai setiap tahun.
Katanya, cadangan itu mengambil kira hasil yang dijana agensi Persekutuan di Sabah, berbanding kaedah sedia ada yang menetapkan jumlah pembayaran pada kadar sama untuk tempoh lima tahun.
“Kita mahu supaya pewartaan itu dibuat secara progresif. Maknanya, setiap tahun ada peningkatan berdasarkan nilai hasil yang dijana agensi Persekutuan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kadar peningkatan itu boleh ditentukan menerusi rundingan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sehingga jumlah sebenar 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang menjadi hak Sabah dapat dicapai.
Mengulas baki tuntutan 40 peratus itu, Mustapha berkata perkara berkenaan masih dalam rundingan menerusi jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa induk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Katanya, proses berkenaan turut mengambil kira keupayaan fiskal serta kedudukan kewangan negara.




