Read Time:2 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mendakwa mengalami tekanan perasaan akibat sikap dan percakapan ibu tirinya ketika masih bersekolah rendah.
Malianah Mahathir, 25, berkata dia pernah tinggal bersama bapa kandung, Mahathir Mohd Hashim dan ibu tirinya, Noraidah Lamat selama kira-kira tujuh bulan dari hujung 2011 hingga Jun 2012.
“Sepanjang masa tersebut, saya berasa tidak seronok dan tidak gembira,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut saksi ke-81 itu, dia sering dimaki dan menerima kata-kata kasar daripada ibu tirinya sehingga menyebabkan dirinya mengalami tekanan perasaan.
“Sepanjang saya tinggal bersama ibu tiri saya, saya mengalami tekanan perasaan akibat sikap dan percakapan ibu tiri saya. Pada masa itu, saya masih budak sekolah rendah namun saya telah dilayan seperti itu. Saya tidak tahan dan meminta bapa saya menghantar saya balik ke rumah ibu kandung saya,” katanya.
Malianah turut memaklumkan keapada Mahkamah bahawa ketika bapanya berada di rumah, ibu tirinya akan melayannya dengan baik, termasuk membantu menguruskan keperluannya dan mengajarnya membuat kerja sekolah.
Namun, dia mendakwa layanan itu berubah apabila bapanya keluar bekerja selama beberapa hari.
“Sepanjang saya tinggal bersama ibu tiri saya, ibu tiri saya pandai berpura-pura. Apabila bapa saya berada di rumah, ibu tiri saya akan baik dengan saya. Namun apabila bapa saya mula keluar bekerja sebagai pemandu di Sabah Oil & Gas Kimanis, ibu tiri saya akan mula berubah dan tidak suka akan saya,” katanya.
Malianah juga mendakwa ketika bapanya tiada, dia perlu memasak dan mencuci pakaiannya sendiri termasuk pakaian sekolah serta menyediakan sendiri kelengkapan persekolahan.
Malianah berkata apabila bapanya berada di rumah, dia tidur di ruang tamu beralaskan toto nipis, namun ketika bapanya keluar bekerja, ibu tirinya menyuruhnya tidur di dapur berhadapan tandas walaupun terdapat sebuah lagi bilik tidur yang kosong.
Menjawab soalan daripada pegawai pengendali Pegawai Pengendali Mohd Fairus Johari, ruang tamu dan dapur adalah kawasan yang sama.
Malianah berkata, Zara dilahirkan pada 2013 selepas dia tidak lagi tinggal bersama bapa dan ibu tirinya.
Dia mendakwa tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan Zara kerana ibu tirinya tidak membenarkannya berbuat demikian.
Malianah adalah anak sulung daripada tiga beradik hasil perkahwinan Mahathir dengan ibu kandungnya.
Selepas ibu bapanya bercerai pada 2010, bapanya berkahwin dengan Noraidah Lamat pada 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan Zara.
Zara, 13, ditemukan di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberi nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes itu masih berjalan.





