Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah perkenal Aspirasi Integriti Berasaskan Keberhasilan – Hajiji

Read Time:3 Minute, 3 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperkenalkan dan mendokong paradigma baharu menerusi Aspirasi Integriti Berasaskan Keberhasilan (OBI) sebagai formula membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata aspirasi itu membuktikan tadbir urus berasaskan keberhasilan adalah formula paling ampuh dalam membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah. 

“Menerusi OBI, setiap instrumen Governans, Integriti dan Antirasuah wajib membawa keberhasilan nyata.

“OBI memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan fundamental; kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam; serta peningkatan ketara tahap kepercayaan rakyat dan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 yang bertemakan “Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, tadbir urus tidak lagi bersifat reaktif, sebaliknya berasaskan formula 3P iaitu ‘Proactive, Predictive and Preventive’, dengan mencegah sebelum berlaku berdasarkan penilaian risiko nyata. 

“Birokrasi yang tidak teratur adalah sarang paling subur bagi gejala rasuah dan wang rasuah rundat.

“Setiap ringgit dana awam yang dibelanjakan mesti memberikan “value for money” yang maksimum terus kepada kesejahteraan rakyat, tanpa susut nilai di tengah jalan,” katanya. 

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited melaksanakan tiga teras strategik, termasuk memperkasa digitalisasi, analisis data dan wawasan tingkah laku (digital governance, predictive analytics & behavioural insights), selain menginstitusikan OBI dalam penilaian prestasi agensi. 

Katanya, pengukur keberhasilan OBI akan dijadikan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan bagi semua Ketua Jabatan dan kepimpinan syarikat Kerajaan Negeri, manakala prestasi pentadbiran diukur mengikut tahap pengurangan risiko ketirisan dan kecekapan perkhidmatan. 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperluas pemerkasaan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan memperkukuh fungsi Unit Integriti bagi membina ekosistem kepimpinan berintegriti generasi baharu. 

Hajiji berkata, integriti bukan sekadar perhiasan kata, sebaliknya tiang utama yang mendasari kejayaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Menerusi pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah yang dipacu oleh inisiatif berasaskan keberhasilan, integriti bukan lagi slogan atau retorik moral semata-mata, tetapi teras utama yang memacu kejayaan pelan pembangunan SMJ. 

“Integriti adalah enjin penggerak, memastikan setiap dana awam dan setiap dasar kerajaan memberikan nilai pulangan optimum serta impak nyata kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan mahu pun penyelewengan,” katanya. 

Beliau berkata, integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam adalah kunci utama kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030), yang menggariskan Tadbir Urus Berintegriti sebagai salah satu daripada lima Pemboleh Daya Strategik utama. 

Katanya, dalam fasa baharu itu, aspek penyampaian perkhidmatan tidak lagi sekadar dinilai melalui laporan atas kertas, tetapi berdasarkan impak nyata terhadap kesejahteraan rakyat. 

“Saya menyeru agar semua penjawat awam terus memperkukuh kerja berpasukan dan mempertahankan etika kerja yang tinggi,” katanya. 

Hajiji berkata, lebih 2,500 peserta dari seluruh negeri menghadiri KITA 2026 yang berlangsung selama dua hari, mencerminkan kesatuan tekad kolektif dalam memperkukuh pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA). 

Beliau berkata, sejak dicetuskan pada 2023 dan diteruskan pada edisi 2024, KITA membuktikan kedudukannya sebagai platform berprestij dalam Pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah, selain membina landasan untuk menjadikan Sabah sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam bidang berkenaan. 

Menurutnya, antara pencapaian KITA ialah penempatan 10 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sebagai Ketua Unit Integriti di setiap kementerian, pembangunan aplikasi mudah alih i-Adu, sistem i-DIMSS dan i-STANS, selain 17 pegawai agensi Kerajaan Negeri Sabah yang lulus Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIAM) oleh Universiti Sains Malaysia. 

“Di peringkat nasional, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut menerima pengiktirafan UNGGUL dalam pensijilan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM)”, katanya. 

LEAVE A RESPONSE