Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kakak tiri Zara dakwa ada pihak berkias cuba pengaruhi keterangannya

Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mendakwa beberapa individu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cuba mempengaruhi keterangannya berkaitan ibu tirinya.

Saksi ke-81, Malianah Mahathir, 25, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa individu terbabit tidak secara langsung memintanya mengubah keterangan, sebaliknya memberi cadangan supaya keterangannya tidak menyalahkan atau membuka aib ibu tirinya, Noraidah Lamat.

“Saya berjumpa dengan beberapa orang NGO yang bapa bawa saya untuk berjumpa. Mereka tidaklah bercakap berdepan, ‘Oh kau tukar kau punya keterangan’, tidak. Cuma mereka berkiaslah…. Sebab mereka berpihak kepada mama Zara,” katanya.

Malianah berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menjawab soalan lanjut, Malianah berkata dia merasakan pihak berkenaan mahu keterangannya tidak sampai menyalahkan Noraidah.

“Bukan mahu pusing….. tetapi mereka macam mahu keterangan saya ini tidak sampai menyalahkan Mama Zara. Macam tu. Tapi mereka tidak beritahu “Kau kena cakap macam ni, kau kena cakap macam ni”, tidak lah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, berdasarkan pemahamannya, individu terbabit tidak mahu keterangannya menyalahkan atau membuka aib Mama Zara, malah jika boleh, mereka tidak mahu dia hadir di mahkamah.

Malianah turut menamakan beberapa individu yang ditemuinya atau berhubung dengannya, termasuk Ena Awil, Mona Din, Datuk Chin dan Joyce.

Menurutnya, dia hanya pernah bertemu Ena sekali, manakala beberapa individu lain berhubung dengannya melalui telefon.

Malianah berkata selang beberapa lama pertemuannya dengan Ena, wanita itu menjadi tular dan dia telah memaklumkan perkara itu kepada seorang pegawai polis sebelum membuat laporan polis.

Malianah berkata Ena berulang kali menghubunginya melalui panggilan telefon walaupun dia sudah meminta supaya sebarang komunikasi dibuat melalui WhatsApp.

Ketika ditanya kandungan laporan polis itu, Malianah berkata dia membuat laporan kerana merasakan dirinya diganggu.

“Dia asyik telefon, telefon macam itu. Beberapa kali pada awalnya, dia mulakan perbualan dengan bertanya khabar, kemudian ada soalan mengenai keterangan saya.

“Sedangkan sebenarnya dia tidak berhak untuk tahu sebab dia bukan sesiapa dalam kes ini dan bukan orang berkepentingan untuk mengetahui. Jadi, saya rasa perkara itu mengganggu saya,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Malianah berkata dia sudah keluar dari rumah Noraidah sebelum Zara dilahirkan.

Dia turut bersetuju bahawa segala yang diketahuinya mengenai Zara bukan diperoleh daripada Zara sendiri, sebaliknya daripada orang lain.

Malianah juga bersetuju bahawa kehadirannya di mahkamah pada Selasa adalah untuk menceritakan pengalamannya ketika tinggal bersama Noraidah.

Ketika ditanya sama ada keterangannya bertujuan membuka aib atau membantu mahkamah, Malianah berkata dia hanya menjawab soalan yang dikemukakan polis dan tidak berniat membuka aib sesiapa.

Dia turut memberitahu mahkamah bahawa sepanjang tempoh tinggal bersama Noraidah, ibu tirinya itu tidak melayannya dengan buruk setiap hari.

Prosiding inkues bersambung esok.

LEAVE A RESPONSE