KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat daripada Kumpulan Sawit Kinabalu di pejabatnya di sini pada Khamis.
Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Kewangan Sabah itu diketuai oleh Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa.
Dalam kunjungan itu turut membincangkan pencapaian semasa syarikat, cabaran industri serta hala tuju strategik syarikat.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Victor Ationg, bersama ahli-ahli lembaga pengarah serta pengurusan kanan syarikat.
Kumpulan Sawit Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan, kunjungan tersebut membuka ruang perbincangan mengenai prestasi semasa syarikat dan keutamaan operasi dalam memastikan kelangsungan perniagaan yang mampan.
Selain itu, sesi berkenaan turut meneliti strategi untuk memperkukuh daya saing syarikat agar terus berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah pada masa hadapan.
Dalam pertemuan itu, komunikasi dua hala antara pihak syarikat dan Menteri Kewangan Negeri berlangsung secara terbuka dan konstruktif, di samping pelbagai pandangan serta saranan dikemukakan bagi menambah baik operasi syarikat.
Kumpulan Sawit Kinabalu berharap hubungan strategik dengan Kementerian Kewangan Sabah akan terus diperkukuh dan diterjemahkan bukan sahaja melalui dasar serta perancangan, tetapi juga melalui kerjasama bersepadu dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri yang berterusan.






