Read Time:1 Minute, 11 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melahirkan lebih 100,000 alumni berkualiti yang kini berkhidmat dalam pelbagai bidang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa.
Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan UMS dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi selain menjadi tenaga pakar yang menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Beliau berkata, ramai graduan UMS kini kembali berkhidmat sebagai tenaga pengajar di universiti itu sendiri selain menyumbang kepakaran di universiti-universiti lain dalam dan luar negara.
“Alumni merupakan aset penting universiti serta bukti kejayaan UMS dalam melahirkan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, adab dan kemanusiaan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Jumaat.
Kasim berkata, program seumpama itu menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara alumni, universiti dan mahasiswa sebagai sebuah keluarga besar UMS.
Katanya, mahasiswa juga perlu mencontohi pengalaman serta nilai kepimpinan yang dibawa oleh alumni dalam membentuk jati diri sebagai pemimpin masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen UMS untuk terus melahirkan graduan yang seimbang dari sudut akademik, kepimpinan dan nilai kemanusiaan selaras dengan aspirasi “Sabah Maju Jaya”.
Beliau turut menyeru alumni agar terus menyumbang idea, jaringan serta pengalaman demi pembangunan universiti dan masa depan UMS yang lebih cemerlang.
Program tersebut berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan dengan menghimpunkan alumni, pentadbiran universiti serta pimpinan mahasiswa.






