Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Polis rakam keterangan 200 saksi dalam siasatan kematian Zara

Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa polis merakam percakapan 200 saksi dalam siasatan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bagi melengkapkan laporan mati mengejut berhubung kejadian itu.

Pegawai penyiasat kes berkenaan, Inspektor Wong Yew Zhung, berkata saksi yang dipanggil terdiri daripada ahli keluarga Zara, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah serta guru.

Katanya, mereka turut merangkumi pegawai perubatan, anggota polis dan pelajar asrama di kediaman Zara.

“Kesemua rakaman percakapan tersebut telah diambil oleh saya sendiri dengan bantuan pegawai-pegawai polis dari Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Sipitang,” katanya ketika memberikan keterangan dalam prosiding inkues kematian Zara, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.

Menurutnya, siasatan bermula susulan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Warden Asrama Azhari Abd Sagap, pada 16 Julai 2025.

Wong kemudian merakam percakapan Azhari pada kira-kira jam 12 tengah hari hari yang sama di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar sebelum meneruskan siasatan dengan mengambil keterangan pengawal keselamatan dan pelajar asrama, keesokan harinya.

Wong berkata, rakaman percakapan saksi termasuk pelajar asrama dan pegawai perubatan diteruskan pada 18 Julai 2025 dari kira-kira jam 9 pagi hingga 8 malam.

Pada hari sama, beliau turut mendapatkan bantuan pegawai penyiasat IPD Sipitang untuk merakam percakapan awal ibu Zara, Noraidah Lamat, yang ketika itu berada di Sipitang.

Katanya, susulan maklumat yang diberikan ibu Zara mengenai beberapa pelajar sekolah, polis mendapatkan bantuan pihak sekolah untuk mengenal pasti mereka sebelum merakam percakapan pelajar berkenaan pada 21 Julai 2025.

“Menurut pelajar-pelajar tersebut, kali terakhir mereka berjumpa dengan Zara adalah pada sekitar bulan Mei 2025. Mereka juga tidak ada melihat atau mengetahui apa yang berlaku sehingga Zara ditemui tidak sedarkan diri,” katanya.

Saksi ke-83 itu berkata rakaman percakapan seterusnya turut membabitkan pelajar senior yang dikatakan bertemu Zara pada malam 15 Julai serta pelajar yang membantu mengalihkan Zara selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama.

Polis juga mengambil keterangan pelajar dan guru yang menemukan buku nota serta helaian kertas dipercayai mengandungi tulisan Zara.

Menurut Wong, berdasarkan keterangan saksi yang mengenali Zara, remaja itu digambarkan sebagai seorang yang ceria, aktif, peramah, banyak bercakap dan mudah berkawan.

Zara juga mempunyai cita-cita untuk menjadi ahli Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).

LEAVE A RESPONSE