Read Time:2 Minute, 8 Second
Oleh Normimie Diun
PAPAR: Avokado Sabah dikenal pasti antara produk pertanian tempatan berpotensi didaftarkan di bawah Petunjuk Geografi (GI) pada 2027 bagi melindungi keunikan dan meningkatkan nilai komersialnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi Program GI MADANI oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan serta negeri.
Katanya, perlindungan melalui pendaftaran Petunjuk Geografi penting bagi memastikan produk tempatan yang mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri mendapat pengiktirafan serta tidak terlepas peluang perlindungan akibat kelewatan pendaftaran.
“Antara produk yang dikenal pasti mempunyai potensi di Sabah ialah avokado. Kita mahu menggerakkan usaha untuk melindungi avokado Sabah melalui pendaftaran Petunjuk Geografi pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutupan program anjuran MyIPO di Dewan Sekolah Menengah Pengalat Papar di sini, hari ini.
Bagi 2027, MyIPO menyasarkan lima permohonan Petunjuk Geografi tempatan dan dua permohonan antarabangsa menerusi Program GI MADANI yang memberi tumpuan kepada perlindungan produk berasaskan petunjuk geografi.
Selain Avokado Sabah, produk lain yang turut dikenal pasti termasuk Nanas Bario dan Durian Raja Kunyit Tanah Merah.
Menurut Armizan, inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengiktirafan, reputasi serta nilai komersial produk tempatan, sekali gus membuka peluang pasaran lebih luas kepada komuniti pengeluar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pembangunan harta intelek turut menjadi antara strategi penting kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), khususnya dalam meningkatkan penciptaan nilai yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, MyIPO sebagai agensi peneraju dalam bidang harta intelek akan mempergiat usaha membangunkan ekosistem inovasi, termasuk membantu inovator dan usahawan melindungi hasil idea serta ciptaan mereka.
“Malaysia turut menyasarkan kedudukan dalam kelompok 20 negara teratas Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2030, berbanding kedudukan ke-35 pada 2025,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian sasaran itu memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan sektor industri, termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pertanian, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pendidikan Tinggi.
Sehubungan itu, Armizan berkata, MyIPO turut memperkenalkan pendekatan MyIPO NextGen bagi melahirkan generasi muda yang celik harta intelek serta berupaya mencetuskan kreativiti dan inovasi.
“Antara program di bawah inisiatif itu ialah IP Spark yang menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman dengan melibatkan pelajar sekolah dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
“Menerusi program berkenaan, peserta diberi peluang mengenal pasti isu dalam komuniti setempat, menjana idea penyelesaian dan menghasilkan prototaip sebelum didedahkan kepada kepentingan perlindungan harta intelek,” ujarnya.
Tambah Armizan, pendekatan itu bukan sahaja menggalakkan kreativiti dalam kalangan generasi muda, malah membina kesedaran bahawa hasil inovasi perlu dilindungi bagi memastikan potensi dan nilai komersialnya dapat dikembangkan.





