Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Orang ramai dijemput meriahkan Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia di SICC


Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia yang akan berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, program yang berlangsung bermula jam 9 pagi itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang dua hari program berlangsung termasuk jualan produk tempatan, Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), reruai agensi kerajaan, sesi advokasi kepenggunaan serta aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.

“Kita mahu program ini bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi menjadi platform santai untuk rakyat datang bersama keluarga, mengenali produk tempatan dan pada masa sama mendapatkan pelbagai manfaat daripada inisiatif KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembang Inspirasi Beli Barangan Malaysia bersama Sabah FM di sini baru-baru ini.

Shahril berkata, sebanyak 60 reruai melibatkan usahawan dari Sabah dan seluruh negara akan mengambil bahagian dengan mengetengahkan pelbagai kategori produk termasuk makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecantikan, kraftangan, fesyen serta produk gaya hidup.

Katanya, program tersebut juga bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap produk buatan Malaysia yang kini semakin berkembang dari segi kualiti, pembungkusan, penjenamaan dan kreativiti.

“Produk tempatan kita hari ini memang mampu bersaing dan setanding produk luar negara. Kita mahu rakyat Sabah sendiri berasa bangga dan yakin dengan produk buatan Malaysia, khususnya produk tempatan Sabah yang mempunyai identiti tersendiri,” katanya.

Menurut beliau, antara segmen utama yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung ialah Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan kira-kira 200 jenis unit simpanan stok (SKU) pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Tiga pasar raya utama iaitu Bataras, Big Bag Borneo dan Servay Evergreen akan mengambil bahagian dalam jualan tersebut.

Antara barangan dijual termasuk beras, minyak masak, telur, barang dapur, makanan basah dan produk penjagaan diri.

Pengunjung juga berpeluang menikmati sesi “Happy Hour” yang menawarkan potongan harga sehingga 60 peratus bagi barangan terpilih.

Selain itu, pelbagai reruai agensi dan rakan strategik KPDN turut disediakan bagi memberi maklumat berkaitan hak pengguna, perlindungan pengguna, penjenamaan produk, harta intelek, peluang perniagaan dan pembangunan usahawan.

Antara agensi yang akan terlibat termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Majlis perasmian Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 16 Mei.

Turut dijangka hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Shahril Nizam berkata, penganjuran program itu diharap dapat menjadi platform yang lebih dekat dengan rakyat selain memperkukuh kesedaran serta semangat menyokong produk tempatan.

LEAVE A RESPONSE