Read Time:1 Minute, 51 Second
KOTA KINABALU: Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 perlu dinilai berdasarkan keberkesanan perbelanjaan dan manfaat sebenar kepada rakyat, bukan sekadar jumlah keseluruhan yang diumumkan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Johari Suhaimin, berkata peruntukan itu turut merangkumi perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan, termasuk gaji penjawat awam serta kos operasi kementerian dan jabatan yang berkhidmat di negeri ini.
Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, sebelum ini menjelaskan bahawa peruntukan berkenaan bukan sahaja meliputi projek pembangunan, malah turut membiayai pengurusan perkhidmatan awam Persekutuan, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
Menurut Johari, RM18.7 bilion itu bukan keseluruhannya disalurkan secara langsung kepada Kerajaan Negeri atau diperuntukkan khusus bagi pelaksanaan projek pembangunan baharu.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap peruntukan dapat diterjemahkan kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan penyelesaian masalah asas yang masih membelenggu rakyat Sabah.
“Masalah bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan asas di kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian serius, walaupun peruntukan pembangunan disediakan setiap tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, faktor geografi, keluasan wilayah dan kos pembinaan infrastruktur yang tinggi memerlukan pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan sebenar Sabah.
Bagaimanapun, katanya, cabaran berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan bagi kelewatan pelaksanaan projek atau kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sehubungan itu, Johari menekankan kepentingan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, termasuk penetapan sasaran projek, pemantauan kemajuan pelaksanaan serta ketelusan dalam penggunaan peruntukan.
“Rakyat perlu diberikan penjelasan yang jelas mengenai tujuan sesuatu peruntukan serta sejauh mana pelaksanaan projek berkenaan dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari menegaskan bahawa isu pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah tidak boleh disamakan dengan peruntukan tahunan menerusi Belanjawan Persekutuan.
Katanya, pemberian khas itu mempunyai asas perlembagaan tersendiri, khususnya di bawah Perkara 112C, Perkara 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, penyelesaian isu berkenaan penting bagi memberikan kepastian fiskal kepada Kerajaan Negeri, sekali gus membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mampan.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap peruntukan dibelanjakan secara telus, cekap dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Kejayaan belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah dana yang diumumkan semata-mata, sebaliknya berdasarkan hasil pembangunan dan peningkatan kualiti hidup rakyat Sabah,” katanya.





