Read Time:1 Minute, 13 Second
Oleh Normimie Diun
XIAMEN, CHINA: Di sebalik hubungan perdagangan dan peluang pelaburan yang menghubungkan Sabah dengan Xiamen, China, kota itu turut menyimpan kenangan peribadi yang cukup mendalam buat Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Sabah, Datuk Dexter Lau.
Bagi Dexter, Xiamen bukan sekadar destinasi yang mempunyai nilai ekonomi dan sejarah, sebaliknya sebuah kota yang menyimpan memori penuh emosi bersama mendiang datuk kesayangannya.

Beliau pernah berpeluang membawa datuknya kembali ke Xiamen sebelum insan tersayang itu meninggal dunia. Dalam kunjungan berkenaan, mereka turut singgah di Hotel Marco Polo, sebuah tempat yang mempunyai kenangan istimewa dalam kehidupan datuknya.
Namun, suasana berubah menjadi detik yang cukup menyentuh hati apabila datuknya mendapati hotel berkenaan sudah melalui pengubahsuaian besar sehingga tidak lagi menyerupai persekitaran yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu.
Perubahan itu membangkitkan nostalgia dan kenangan silam datuknya, sehingga tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata.
Bagi Dexter, menyaksikan sendiri reaksi emosi datuknya ketika itu menjadi pengalaman yang sukar dilupakan. Malah, peristiwa berkenaan menyebabkan beliau berasa berat hati untuk kembali ke Xiamen kerana kota itu sentiasa mengingatkannya kepada detik penuh kesedihan tersebut.
Kenangan itu turut menggambarkan betapa kuatnya hubungan emosi datuknya dengan Xiamen, selain memperlihatkan nilai kasih sayang dan ikatan kekeluargaan yang merentasi generasi.
Justeru, bagi Dexter, Xiamen akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya. Kota itu bukan sekadar sebuah lokasi di China, tetapi menjadi lambang warisan keluarga, kenangan bersama insan tersayang dan kasih sayang seorang cucu terhadap datuknya yang akan terus dikenang sepanjang hayat.





