Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS, JBPM terajui inovasi teknologi pemadaman kebakaran bateri litium


Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerajui pembangunan inovasi teknologi pemadaman kebakaran bateri litium bagi menangani risiko kebakaran baharu yang semakin kompleks seiring perkembangan teknologi moden.

Inisiatif tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif (BMLE), Bangunan Canselori UMS, pada khamis.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama strategik berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh penyelidikan, pembaharuan serta pemindahan teknologi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan negara.

“Kerjasama strategik ini membuka ruang luas kepada perkongsian kepakaran antara akademia dan agensi kerajaan dalam membangunkan penyelesaian berasaskan sains dan teknologi.

“UMS komited memastikan kolaborasi diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu memperkasa pembangunan modal insan dan keselamatan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Sri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, MoU berkenaan memberi fokus kepada pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi media pemadaman yang lebih efektif dan mampan.

“Cabaran kebombaan masa kini semakin kompleks dengan kemunculan risiko baharu seperti kebakaran bateri lithium-ion melibatkan kenderaan elektrik (EV), pusat data serta peranti teknologi hijau.

“Melalui kerjasama ini, kita akan meneroka kaedah pemadaman yang lebih berkesan bagi mendepani ancaman kebakaran moden secara lebih saintifik dan efesien,” katanya.

Antara bidang kerjasama strategik lain yang digariskan termasuk pertukaran tenaga pengajar, latihan kepakaran serta kerjasama akademik dalam bidang kejuruteraan perlindungan kebakaran dan keselamatan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut memberi penekanan terhadap penerapan teknologi baharu seperti robotik, pesawat tanpa pemandu (dron) dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi kebombaan.

JBPM turut menganugerahkan projek penyelidikan bernilai RM100,000 kepada UMS bagi melaksanakan kajian berkaitan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut dan keberkesanan pengoperasian di lapangan.

Kajian tersebut dijangka membantu meningkatkan strategi pemadaman kebakaran secara lebih sistematik dan berkesan, khususnya dalam menangani kebakaran tanah gambut yang memberi impak besar kepada alam sekitar.

MoU berkenaan turut merangkumi pembangunan dokumen operasi seperti Pre-Incident Plan (PIP) dan Incident Action Plan (IAP) dalam usaha memperkukuh pemindahan teknologi kepada anggota JBPM, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah proaktif dalam merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan aplikasi praktikal di lapangan, sekali gus memacu inovasi teknologi pemadaman kebakaran yang lebih responsif terhadap cabaran semasa.

LEAVE A RESPONSE