Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Pertubuhan Jaringan Pemimpin Profesional (PRIDE) menegaskan latar belakang akademik tidak wajar dijadikan sebagai alasan untuk bertindak secara konfrontasi tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan.
Jurucakap PRIDE, Rodiahtul Ardawiyah berkata, Sabah mempunyai struktur adat dan komuniti yang dihormati serta diiktiraf seperti Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri dan Mahkamah Anak Negeri (MAN).
Beliau berkata, struktur ini berperanan menjaga keharmonian serta menjadi saluran penyelesaian pertikaian berkaitan tanah, adat dan komuniti.
“Mahasiswa perlu proaktif dalam memperjuangkan isu rakyat dan membawa suara masyarakat, namun dalam masa yang sama tidak boleh mengabaikan sentimen penduduk setempat, nilai budaya komuniti serta tanggungjawab menjaga nama baik institusi UMS sebagai pusat ilmu yang dihormati.
“PRIDE percaya mahasiswa harus menjadi jambatan penyelesaian melalui pendekatan diplomasi, fakta dan perbincangan berhemah, bukannya tindakan yang boleh mencetuskan persepsi negatif atau ketegangan di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Rodiahtul berkata, idealisme anak muda perlu dipandu dengan adab, disiplin ilmu dan kefahaman terhadap realiti masyarakat setempat agar tidak menjejaskan hubungan antara mahasiswa dan komuniti akar umbi.
Justeru, pihaknya turut menyeru semua pihak agar tidak memperbesarkan isu ini sehingga mencetuskan polarisasi atau kebencian.
“Sebarang pertikaian berkaitan tanah dan komuniti perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang, pentadbiran tanah dan mekanisme adat yang sah.
“Ilmu tanpa adab melahirkan keangkuhan, manakala kepimpinan tanpa hikmah hanya mencetuskan perpecahan,” katanya. – SABAH MEDIA






