Read Time:1 Minute, 11 Second
KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai “Totong” yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan dua lelaki cedera di Kampung Sembulan Lama, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 8 malam di kawasan jambatan berhampiran Blok C kampung berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama beberapa rakan berada di lokasi terbabit untuk membeli minuman sebelum berlaku salah faham dengan suspek.
“Susulan salah faham itu, berlaku pertengkaran sebelum suspek dipercayai pulang ke rumah untuk mengambil senjata tajam dipercayai sabit dan kapak.
“Suspek kemudian kembali semula ke lokasi kejadian lalu menyerang kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Kasim berkata, mangsa pertama mengalami kecederaan di bahagian belakang leher dan kaki, manakala mangsa kedua cedera di bahagian leher serta lengan.
Katanya, kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian selain merakam percakapan pengadu dan beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Menurutnya, usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu.






