Read Time:1 Minute, 6 Second
KOTA KINABALU: Komuniti Ibu Bapa dan Guru (KIBG) Bahagian Perkembangan Kanak-Kanak (BPKK), Kumpulan Yayasan Sabah meraikan seramai 30 guru Tadika dan Taska BPKK sempena sambutan Hari Guru 2026.
Majlis penghargaan itu diadakan di dua lokasi iaitu di Menara Tun Mustapha dan Sadong Jaya, Kota Kinabalu, sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan pengorbanan para pendidik dalam mendidik serta membentuk sahsiah anak-anak sejak usia awal.
Pengerusi KIBG BPKK, Mohd Redzuan Mohd Zin berkata, sumbangan guru amat besar dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia, justeru jasa mereka wajar sentiasa dihargai.
Menurutnya, pengiktirafan itu bertepatan dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Bitara, Nadi Negara”.
“Guru memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan anak-anak dan negara. Dedikasi serta komitmen mereka dalam mendidik anak bangsa amat besar dan sewajarnya diraikan.
“Komuniti ibu bapa amat menghargai segala usaha dan pengorbanan guru-guru yang sentiasa memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kami,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Guru Besar BPKK, Florence Yap, barisan guru, wakil ibu bapa serta murid-murid institusi berkenaan.
BPKK Kumpulan Yayasan Sabah kini mempunyai seramai 232 murid yang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak di tadika dan taska kendaliannya.
Sebagai kesinambungan sambutan Hari Guru, semua pendidik BPKK akan diraikan lagi dalam sebuah majlis khas yang dijadual berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu pada bulan hadapan.






