Read Time:1 Minute, 58 Second
KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) bagi mempersiapkan graduan dan tenaga kerja menghadapi perubahan pekerjaan akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, teknologi baharu dan ekonomi hijau.

Menerusi kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini, kerangka itu menjadi rujukan pembangunan bakat sektor komunikasi dan multimedia bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Majlis pelancaran disempurnakan secara bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini.
C&M FSF diterajui MCMC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi menyelaras keperluan industri, pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Kerangka itu dibangunkan berasaskan dapatan Impact Study of Artificial Intelligence, Digital and Green Economy on the Malaysian Workforce yang dilaksanakan bersama TalentCorp Malaysia.
Menurut MCMC, kajian berkenaan membantu mengenal pasti kemahiran, kompetensi dan laluan kerjaya yang diperlukan industri, sekali gus menyelaraskan pembangunan bakat dengan perkembangan teknologi serta keperluan ekonomi masa hadapan.
Bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi keperluan sebenar industri, Future Skills Talent Council (FSTC) ditubuhkan dan diterajui KESUMA dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui MCMC.
KPT pula akan memanfaatkan C&M FSF untuk memperkukuh kurikulum, mikrokelayakan dan kompetensi graduan, manakala program latihan serta peningkatan kemahiran akan disesuaikan dengan perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan.
MCMC turut menerajui pembangunan kerangka dan menyelaras pelaksanaan FSTC bagi memastikan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara MCMC, HRD Corp, TalentCorp Malaysia dan Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) bagi menyokong pelaksanaan C&M FSF menerusi latihan berasaskan industri dan pembangunan kemahiran.
Bagi graduan, kerangka itu menyediakan laluan lebih jelas daripada pendidikan kepada pekerjaan melalui pemahaman mengenai kemahiran dan kompetensi yang diperlukan industri.
Bagi tenaga kerja sedia ada, C&M FSF membuka peluang meningkatkan dan menyesuaikan kemahiran supaya kekal relevan dalam persekitaran pekerjaan yang berubah pantas.
Bagi industri pula, kerangka berkenaan membantu memperkukuh saluran bakat dengan memastikan pembangunan kemahiran lebih sejajar dengan keperluan sektor yang semakin berkembang.
Pelancaran C&M FSF mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjangka perubahan landskap pekerjaan serta mempersiapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi masa hadapan.





