Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Generasi muda perlu fahami MA63, teruskan perjuangan Sabah dan Sarawak – Mustapha

Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Generasi muda perlu memahami sejarah pembentukan Malaysia, khususnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bagi memastikan perjuangan menuntut dan mempertahankan hak Sabah serta Sarawak terus difahami di peringkat nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk  Mustapha Sakmud berkata, golongan muda mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan berkenaan kerana MA63 merupakan asas penting dalam pembentukan Malaysia.

Katanya, pemahaman terhadap sejarah itu bukan hanya penting bagi rakyat Sabah dan Sarawak, malah perlu diperluaskan kepada masyarakat di Semenanjung Malaysia supaya semua pihak memahami asas pembentukan negara.

“Mereka perlu membawa obor perjuangan ini kerana ini perjuangan kita bersama dan bukan hanya perjuangan orang Borneo, Sabah dan Sarawak sahaja.

“Kalau kita betul-betul memahami sejarah pembentukan Malaysia ini, MA63 adalah teras kepada pembentukan Malaysia.

“Justeru, sekarang kita cuba mengangkat isu ini menjadi naratif nasional supaya bukan hanya Sabah dan Sarawak, tetapi rakan-rakan kita di Semenanjung dan negeri-negeri lain juga dapat memahami pembentukan Malaysia berasaskan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Karnival Hari Terbuka City University Malaysia Pusat Wilayah Sabah 2026 di sini.

Menurut Mustapha, pemahaman lebih mendalam mengenai MA63 akan membolehkan masyarakat menghargai perjuangan Sabah dan Sarawak, termasuk tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah.

“Mereka akan dapat menghargai perjuangan kita, termasuk sebab kita menuntut hak 40 peratus.

“Kalau mereka faham asas ini, mereka akan memahami kenapa orang Sabah dan Sarawak sentiasa mengangkat isu berkenaan supaya dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, usaha membawa isu MA63 ke peringkat nasional turut mendapat sokongan apabila perkara itu disentuh dalam titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan sidang Parlimen pada awal tahun ini.

Katanya, Perdana Menteri turut menyambut baik usaha berkenaan dengan menegaskan kepentingan mengangkat isu MA63 sebagai agenda nasional dan tidak hanya tertumpu kepada Sabah serta Sarawak.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, penganjuran karnival berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa mengembangkan kemahiran kepimpinan dan kerjasama menerusi penglibatan secara langsung dalam pengurusan projek serta pameran.

Katanya, pengalaman berkenaan mampu membentuk mahasiswa menjadi pemimpin yang baik selain memupuk semangat kerjasama dalam menjayakan sesuatu program.

Karnival selama dua hari bermula 14 November itu menampilkan pelbagai pengisian, antaranya City U Fun Run sejauh lima kilometer (5KM), pameran akademik, pameran membabitkan 23 agensi kerajaan dan swasta, Jualan Rahmah serta program derma darah.

Program itu turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan Persatuan Taska Sabah (PPTS), Kumpulan Sri Budaya (KSB) dan Persatuan Orang Sungai Milian Kinabatangan Sabah (POSMIK) bagi memperkukuh kerjasama strategik serta menyokong pembangunan pendidikan, kemahiran dan modal insan di Sabah.

Hadir sama, wakil Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Justinus Jalang serta Pengurus Besar City University Malaysia Pusat Wilayah Sabah, Mohamad Hafez Rashidi Mohd Yusop.

LEAVE A RESPONSE