Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Empat lelaki ditahan kes curi kabel, cuba langgar polis di Lido


Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel serta cubaan membunuh dalam kejadian di kawasan Lido, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 3.19 pagi itu bermula apabila pasukan ronda cegah jenayah Zon 3 Luyang menerima maklumat mengenai aktiviti kecurian kabel berhampiran sebuah pasar raya di Lido.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan tersebut sebelum suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Berlaku aksi kejar-mengejar hingga ke kawasan berhampiran Rugading, apabila suspek memandu secara melawan arus dan berbahaya serta cuba melanggar kenderaan polis beberapa kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam cubaan meloloskan diri, kenderaan suspek turut melanggar sebuah kenderaan orang awam sehingga menyebabkan pemandunya cedera.

Katanya, empat lelaki berusia antara 28 hingga 43 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi suspek masih diburu.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, termasuk alat pemotong, chain block, besi yang diubah suai serta gulungan kabel,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

LEAVE A RESPONSE