KOTA KINABALU: Warga kerja Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) bergotong-royong membersihkan Kompleks Perikanan SAFMA di sini, hari ini, sempena sambutan Hari Sukan Negara.
Aktiviti itu disertai Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, bersama warga kerja syarikat berkenaan yang bekerjasama membersihkan ruang kerja dan kawasan kompleks bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, kemas dan selesa.
Burhan berkata, kebersihan kompleks merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen semua warga kerja.
“Semua warga kerja perlu bersatu dan bekerjasama menjaga kebersihan kompleks. Amalan ini perlu diteruskan supaya persekitaran tempat kerja sentiasa terjaga,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran gotong-royong itu turut memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan warga SAFMA, selaras dengan sambutan Hari Sukan Negara yang menggalakkan gaya hidup aktif.





