Read Time:1 Minute, 40 Second
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjalin kerjasama dengan Yes dan Ryt Bank sebagai rakan penaja utama bagi menyokong pembangunan bola sepak negara serta mendekatkan penyokong dengan sukan itu.
Kerjasama bertemakan “Demi Bola Sepak Malaysia” itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian di sini, hari ini.
Menurut kenyataan media bersama, kerjasama berkenaan merangkumi perancangan inisiatif bola sepak belia, penglibatan komuniti, pengalaman hari perlawanan dan penghasilan kandungan digital.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata penyertaan kedua-dua jenama itu membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem bola sepak negara dan menyokong bakat baharu.
“Bola sepak ialah sumber kebanggaan negara dan minat bersama rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Kami mengalu-alukan Yes dan Ryt Bank sebagai rakan penaja utama serta berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuh ekosistem bola sepak, mendekatkan penyokong dengan sukan ini dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk bakat baharu dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, berkata Yes mahu memberikan sumbangan yang melangkaui penajaan dengan menyokong komuniti serta generasi pelapis bola sepak Malaysia.
Beliau berkata, keupayaan rangkaian 5G Advanced dan kecerdasan buatan (AI) akan digunakan untuk membantu penyokong mengikuti perkembangan bola sepak serta memperluas penglibatan mereka melalui kandungan digital.
Katanya, akses kepada ILMUchat menerusi pelan Yes AI Postpaid turut diharap dapat membantu rakyat Malaysia meneroka peluang pembelajaran baharu, di dalam dan di luar padang.
Menerusi kerjasama itu, pelanggan Yes dan Ryt Bank juga bakal menikmati tawaran berkaitan FAM, termasuk tiket perlawanan dan barangan edisi terhad, tertakluk kepada syarat promosi.
Ryt Bank pula akan menyokong aktiviti sosial berkaitan bola sepak melalui kemudahan pembayaran dan pindahan wang digital, termasuk bagi sesi futsal serta pertemuan bersama rakan pada hari perlawanan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Wilson Soon, berkata teknologi Ryt AI bertujuan memudahkan urusan pembayaran dan pembahagian bayaran supaya penyokong dapat memberikan tumpuan kepada pengalaman menikmati sukan itu.
Ketiga-tiga pihak turut merancang mengetengahkan bakat baharu serta individu yang menyumbang kepada pembangunan bola sepak merentas usia, jantina dan komuniti.
Butiran lanjut mengenai program, kelayakan serta manfaat kepada penyokong akan diumumkan kemudian.





