Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100,000 menerusi penganjuran Golf Amal Prihatin sempena sambutan ulang tahun ke-25 persatuan itu pada 21 November ini.
Antara penganjur program, Sazali Md Salleh, berkata kejohanan bertemakan “Sumbangan Berterusan, Membela Pelajar, Memperkasa Prasarana” itu bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan selain menyokong pembangunan prasarana Laluan Menara Ilmu.
Katanya, penganjuran program berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian persatuan sepanjang 25 tahun, tetapi turut menjadi platform mengumpul sumbangan bagi meningkatkan kebajikan pelajar dan kemudahan kampus.
“Program ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 Alumni UiTM Sabah, tetapi turut menjadi platform mengumpul sumbangan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dan menyokong pembangunan prasarana kampus,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, di pejabatnya.
Menurut Sazali, inisiatif itu diharap dapat memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian, di samping memperkukuh kemudahan kampus demi kesejahteraan warga universiti dan generasi akan datang.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sokongan alumni, sektor korporat, penaja dan masyarakat umum bagi menjayakan sasaran kutipan dana berkenaan.
Penganjuran kejohanan itu turut diharap dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan alumni serta memupuk semangat kebersamaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
“Orang ramai, pemain golf, alumni dan organisasi dialu-alukan menyertai kejohanan berkenaan,” katanya.
Kejohanan Golf Amal Prihatin itu dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026 (Sabtu), dari jam 6.30 pagi hingga 3 petang di Dalit Bay Golf & Country Club.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendaftaran, pakej penajaan dan sumbangan boleh menghubungi:
- Hj Samsuddin Hj Mohd Amin: 019-841 0777
- Mat Salleh Hj Hashim: 019-801 6308
- Hj Sazali Md Salleh: 013-860 4288
- Rosmini Simin: 019-872 9878





