Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah : Sabah tidak setuju kuota diesel 200 liter

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengakui tidak berpuas hati dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan menghadkan kuota sebanyak 200 liter yang ditetapkan kerajaan Persekutuan, susulan pelbagai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Sabah berpandangan mekanisme yang dilaksanakan ketika ini memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia lebih sesuai dengan keperluan rakyat serta industri di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendirian itu menjadi faktor utama kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas (task force) bagi mengkaji isu berkenaan serta menyediakan cadangan penambahbaikan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kerana itulah kita tubuh ‘task force’ ataupun jawatankuasa ini kerana kita tidak bersetuju. Saya fikir banyak perlu penambahbaikan sistem subsidi ini.

“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri juga telah bertindak secara proaktif dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada Ahad lalu bagi memulakan perbincangan mengenai bagaimana masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tham Yun Fook (Warisan-Likas) yang ingin mengetahui pendirian rasmi kerajaan Sabah sama ada bersetuju atau tidak dengan dasar subsidi diesel kuota 200 liter yang dilaksanakan ketika ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri telah menyatakan bahawa sebaik sahaja jawatankuasa khas itu memperkemaskan cadangan serta syor penambahbaikan, ia akan diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan.

“Apabila jawatankuasa ini memperkemas dan menyediakan semua cadangan balas serta penambahbaikan, kita akan serahkan secara rasmi kepada Kerajaan Pusat.

“Ringkasnya, sebab kita membentuk jawatankuasa khas ini ialah kerana kita kurang berpuas hati dengan skim yang ada sekarang. Itulah pendirian kita,” katanya.

Terdahulu, Tham Yun Fook mencadangkan supaya kerajaan menetapkan tempoh masa yang jelas bagi usaha memperjuangkan penambahbaikan subsidi diesel kerana rakyat mahu mengetahui bila perubahan itu akan dilaksanakan.

Menjawab perkara itu, Masidi berkata kerajaan mengambil maklum cadangan tersebut.

LEAVE A RESPONSE