Read Time:1 Minute, 36 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan langkah sementara termasuk penyediaan parkir tambahan bagi menangani isu kekurangan parkir di hospital, khususnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata isu ini sedang diberi perhatian serius di peringkat negeri kerana ia sesuatu yang memang perlu diatasi.
Julita berkata beliau telah melawat HQE bersama Menteri Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU) untuk melihat bagaimana kerajaan negeri mungkin boleh membuat satu pusingan/jalan yang tidak wujud bagi memastikan laluan di kawasan hospital itu dapat diperbaiki.
“Mengenai cadangan tambahan parkir sementara, saya kurang pasti bagaimana kita boleh melakukan itu kerana kawasan yang ada di situ agak terbatas.
“Of course, kerajaan negeri akan memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri dan juga Kabinet telah meluluskan sebuah jawatankuasa yang dipanggil sebagai Jawatankuasa Kerajaan dan Swasta untuk melihat semua aspek penyelesaian masalah, termasuk masalah parkir.
“Kita harap nanti, dalam tempoh yang terdekat ini, kita boleh mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada para pesakit ataupun keluarga yang datang ke situ nanti,” katanya.
Beliau turut mengakui isu parkir di hospital merupakan masalah kritikal yang turut dihadapi hospital besar lain di Sabah termasuk Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
“Saya tahu juga setakat ini ada hospital besar yang lain yang mempunyai ramai pelawat seperti HQE 2, dan saya telah pergi juga ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan — masalah yang dihadapi sama, antara yang paling kritikal itu adalah masalah parkir,” katanya.
Terdahulu Julita berkata keperluan penambahbaikan dan penambahan parkir telah pun diluluskan sebagai sebahagian daripada skop projek naik taraf fasiliti di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Kerajaan Negeri mengambil serius keperluan meningkatkan perkhidmatan kritikal termasuk kemudahan parkir hospital. Perancangan ini melibatkan jangka masa pendek, sederhana dan panjang sehingga tahun 2035,” katanya.






