Read Time:1 Minute, 20 Second
KOTA KINABALU: Penggiat seni tempatan Sabah daripada pelbagai bidang termasuk perfileman, penulisan, nyanyian dan kerja belakang tabir bakal menerima manfaat daripada kutipan Konsert Malam Amal Lagenda “Senandung Hidup Berbudi”.
Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Khatijah Ibrahim berkata, kutipan daripada konsert yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 6 November ini akan disalurkan bagi membantu kebajikan penggiat seni yang memerlukan.
Katanya, usaha itu menjadi matlamat utama penganjuran konsert berkenaan selain menyediakan ruang hiburan kepada peminat lagu-lagu lama.
“Matlamat utama kutipan dana daripada konsert amal ini adalah untuk disalurkan kepada penggiat seni tempatan di Sabah tidak kira bidang perfileman, penulisan, nyanyian ataupun belakang tabir.
“Kita mahu membantu mereka yang selama ini banyak menyumbang kepada industri seni tetapi mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Menurut Khatijah, Konsert Malam Amal Lagenda itu merupakan edisi kedua selepas penganjuran pertama dua tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung pada edisi kali ini, namun mengakui sambutan setakat ini masih perlahan.
“Kita masih mengharapkan lebih ramai peminat lagu-lagu lama untuk hadir kerana selain menikmati persembahan artis yang dibawakan, mereka juga secara tidak langsung menyumbang kepada kebajikan penggiat seni,” katanya.
Antara artis yang dijadualkan membuat persembahan termasuk Datuk Ramli Sarip, Datuk Zainal Abidin serta artis tempatan seperti Velvet, Bella Astillah dan Ayu Damit.
Khatijah berkata, pihaknya berharap penganjuran konsert amal sedemikian dapat diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh kebajikan penggiat seni di Sabah dan Malaysia pada masa akan datang.





