KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah dijangka akan mengalami hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 11 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat di Sabah merangkumi Pedalaman melibatkan Kuala Penyu dan Beaufort.
“Antara kawasan lain yang terlibat di Sabah melibatkan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Semporna) dan Kudat.
“Turut dilaporkan mengalami cuaca sama adalah di Labuan sehingga jam 11 pagi 22 Jun,” menurut kenyataan itu di sini pada Isnin/
Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
Amaran ini bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan agar berwaspada dan mengambil langkah keselamatan, khususnya ketika berada di luar rumah, memandangkan ribut petir berpotensi menyebabkan kejadian seperti banjir kilat, pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik.
Selain itu, pengguna jalan raya dan nelayan pantai turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati serta sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa. – SABAH MEDIA






