Read Time:1 Minute, 41 Second
KOTA KINABALU: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah digalak untuk menerapkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan bagi memastikan kelangsungan serta meningkatkan daya saing perusahaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, potensi PMKS di Sabah begitu besar untuk mengembangkan perniagaan berasaskan amalan ESG, namun tahap kesedaran dalam kalangan usahawan terhadap kepentingan perkara itu masih perlu dipertingkatkan.
Katanya, penerapan ESG bukan sahaja berkaitan dengan aspek pemeliharaan alam sekitar, malah turut merangkumi nilai sosial serta tadbir urus yang baik dalam pengurusan sesebuah perniagaan.
“Potensi di Sabah ini begitu besar. Usahawan kita boleh menerapkan perniagaan dan aktiviti mereka berasaskan ESG.
“Cuma kadang-kadang kesedaran kurang. Sebab itulah kita mengadakan seminar ini supaya mereka tahu bahawa perniagaan mereka boleh dijalankan secara ESG, termasuk memelihara alam sekitar dan mengurangkan pencemaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Kesedaran ESG PMKS 2026 di di sini pada Isnin.
Mohamad berkata, amalan ESG juga dapat membantu usahawan meningkatkan tadbir urus perniagaan supaya pengurusan syarikat dilaksanakan secara lebih tersusun dan bertanggungjawab.
Menurutnya, aspek sosial turut penting dengan memastikan nilai menghargai pekerja dan kebajikan mereka diterapkan dalam pengurusan perniagaan.
“Bagaimana kita mahu menghargai kerja-kerja mereka, kemudian bagaimana mereka boleh menerapkan nilai governance atau urus tadbir yang baik dalam perniagaan mereka.
“Kalau perkara ini dapat diterapkan, jadilah kriteria ESG,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus menggalakkan PMKS supaya menjalankan aktiviti perniagaan berasaskan prinsip ESG.
Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan PMKS bukan sahaja mampu berkembang dari sudut perniagaan, malah mengambil kira kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus yang baik.
Seminar Kesedaran ESG PMKS 2026 bertemakan “Tiket ESG: Fahami Ekspektasi, Hadapi Realiti, Mulakan Aksi!” dianjurkan SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Program itu bertujuan memperluas jangkauan serta meningkatkan kesedaran PMKS mengenai kepentingan penerapan amalan ESG dalam menjalankan perniagaan.
Lebih 250 peserta terdiri daripada PMKS serta pihak berkepentingan termasuk pegawai kerajaan, pakar ESG, institusi kewangan, ahli akademik dan pelajar menyertai seminar berkenaan. – SABAH MEDIA





