Read Time:1 Minute, 26 Second
TAWAU: Sebanyak 14 notis saman dikeluarkan dan dua kenderaan disita dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi pada Sabtu lalu dijalankan dari jam 10.30 malam hingga 2 pagi di kawasan T2 Jalan Apas, One Arena Jalan Chong Thien Vun serta Sekatan Jalan Raya (SJR) di Batu 2 Jalan Apas.
Sebuah Nissan Fairlady dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua kenderaan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan susulan menerusi Operasi Extreme,” katanya dalam kenyataan.

Rosdi berkata, sebanyak 80 kenderaan diperiksa, membabitkan 30 motosikal, 30 motokar, 18 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan dua lori.
Polis turut memeriksa 64 individu terdiri daripada 45 lelaki dan 19 perempuan.
“Sebanyak 14 keping notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk tiada cermin sisi, tidak mempunyai nombor pendaftaran mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan tidak mempamerkan tanda ‘P’.
“Selain itu, bagi motokar pula, tindakan dikenakan atas kesalahan pengubahsuaian ekzos serta penggunaan lampu selain warna putih, manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dikenakan tindakan kerana menggunakan kenderaan yang tidak sesuai,” katanya.
Menurutnya, empat kenderaan turut diberikan advokasi membabitkan sebuah motokar dan tiga motosikal sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan.
“Tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, Polis Daerah Tawau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membendung aktiviti samseng jalanan dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak.







