Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ambuyat bukan sekadar hidangan, warisan budaya borneo

Read Time:6 Minute, 11 Second

Ambuyat merupakan antara warisan kulinari masyarakat Borneo yang mempunyai keunikan tersendiri. Diperbuat daripada tepung sagu pokok rumbia, makanan tradisional itu bukan sekadar hidangan, malah menjadi lambang identiti dan tradisi masyarakat setempat yang diwarisi turun-temurun.

Keistimewaan ambuyat bukan sahaja terletak pada bahan asas dan cara penyediaannya, tetapi turut terserlah melalui kepelbagaian cacah atau pencicah serta lauk-pauk tradisional yang mengiringinya.

Lebih daripada itu, amalan menikmati ambuyat secara bersama mencerminkan nilai kekeluargaan, kebersamaan dan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat.

Seiring perubahan zaman, usaha memelihara warisan makanan tradisional semakin penting bagi memastikan khazanah kulinari itu tidak dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran Pesta Ambuyat menjadi antara platform untuk mengetengahkan keunikan hidangan berkenaan, di samping memperkenalkan budaya masyarakat Borneo serta mengembangkan potensi pelancongan gastronomi.

Ambuyat Bukan Sekadar Hidangan

Bagi pengusaha katering Dapur Dangsanak Brunei Weston, Sharifah Abd Ghani, 71, ambuyat bukan sekadar hidangan tradisional, sebaliknya warisan keluarga yang dipelajarinya sejak kecil.

Berbekalkan pengalaman berpuluh tahun, beliau terus mengekalkan tradisi penyediaan ambuyat yang diwarisi daripada arwah neneknya sejak berusia sembilan tahun.

Sharifah ketika ditemui media.

“Makanan ini memang menjadi kegemaran kami sejak kecil. Dulu arwah nenek yang mengajar, ketika berusia sembilan tahun saya sudah diajar ‘menumpah’ ambuyat,” katanya dalam loghat Brunei.

Menurutnya, keunikan ambuyat turut bergantung kepada kepelbagaian cacah dan lauk tradisional yang dihidangkan bersama, termasuk cacahan tempoyak, buah binjai, bambangan serta jeruk kembayau.

Antara cacah atau pencicah yang dinikmati bersama ambuyat.

“Penyediaan ambuyat ini memang banyak yang perlu dibuat. Kalau makan ambuyat, mesti ada banyak ikan, lauk-pauk dan sayur-sayuran. Kalau tidak, bukan ambuyatlah namanya,” katanya berseloroh.

Mengimbas kaedah penyediaannya, Sharifah berkata tepung sagu suatu ketika dahulu diproses secara manual sebelum penggunaan mesin memudahkan proses penghasilannya.

Sharifah (kiri) bersama anaknya, Shazwani M. Zulkifle@Dzul mengambil bahagian dalam Pertandingan Ambuyat sempena Pesta Ambuyat 2026.

Beliau menyambut baik penganjuran Pesta Ambuyat yang disifatkan mampu memperkenalkan makanan tradisional itu kepada masyarakat lebih luas, selain membuka peluang pasaran kepada pengusaha tempatan.

Dalam usaha memastikan warisan berkenaan terus dipelihara, Sharifah turut mengajar anak-anak dan menantunya cara menyediakan ambuyat, termasuk menerusi panggilan video bagi mereka yang tinggal berjauhan.

Katanya, amalan menikmati ambuyat bersama keluarga setiap hujung minggu dan ketika majlis kenduri juga menjadi antara cara untuk memastikan tradisi itu terus diwarisi generasi seterusnya.

Lambang Identiti Budaya dan Warisan Kekeluargaan

Bagi pengunjung Pesta Ambuyat, Dayangku Nurazzah Pg Abu Bakrin, ambuyat bukan sekadar makanan tradisional, malah melambangkan identiti budaya masyarakat Borneo yang diwarisi turun-temurun serta menjadi penghubung dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Ambuyat membawa kenangan tersendiri kerana selalu kita nikmati bersama keluarga. Ambuyat bukan sekadar makanan, tetapi menjadi penghubung yang menyatukan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Pesta Ambuyat turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian kuih tradisional masyarakat Brunei menerusi demonstrasi penyediaan dan sesi merasa makanan.

Dayangku Nurazzah (tengah) bersama seisi keluarga berkunjung ke Pesta Ambuyat 2026.

Antara kuih yang diperkenalkan termasuk kelupis, kuih sapit, cacap, madu kesirat, tapai serta kuih cincin atau palangkingkin.

“Antaranya kelupis, kuih sapit, cacap, madu kesirat, tapai dan kuih cincin atau palangkingkin. Sebelum ini, saya hanya menikmati kuih-kuih berkenaan tanpa mengetahui cara penyediaannya,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan sedemikian mampu memperkenalkan warisan makanan tradisional kepada masyarakat lebih luas, khususnya generasi muda yang kurang mengenali sesetengah hidangan seperti madu kesirat.

Dalam usaha mengekalkan warisan berkenaan, beliau berpendapat generasi muda perlu didedahkan kepada makanan tradisional menerusi festival dan aktiviti kekeluargaan, manakala ibu bapa pula perlu mengajar anak-anak menyediakan hidangan itu sejak kecil.

“Pada usia 32 tahun, saya sendiri masih belum mahir menumpah ambuyat. Ini menunjukkan kemahiran menyediakan makanan tradisional juga perlu diwariskan, bukan sekadar memperkenalkan makanan untuk dinikmati,” katanya.

Dayangku Nurazzah yang berasal dari Kampung Benoni, Papar dan hadir bersama keluarganya berkata, pertandingan menumpah ambuyat serta demonstrasi penyediaan kuih tradisional sempena pesta itu merupakan inisiatif baik untuk memastikan warisan kulinari masyarakat Borneo terus dihargai dan diwarisi.

Inovasi Ambuyat Buka Peluang Pasaran Lebih Luas

Sementara itu, pengasas D’Ambuyat Borneo, Syazwani Abdul Basid, 37, mengambil pendekatan inovasi bagi memastikan ambuyat terus relevan menerusi penghasilan produk set lengkap dalam cawan yang mudah disediakan.

Katanya, idea menghasilkan produk berkenaan tercetus apabila melihat masyarakat di luar Sabah berdepan kesukaran menyediakan ambuyat kerana hidangan itu memerlukan teknik bancuhan tertentu.

Syazwani berharap inovasinya mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Idea ini bermula apabila saya melihat masyarakat di luar Sabah sukar menyediakan ambuyat kerana makanan ini memerlukan teknik bancuhan tertentu. Saya mahu memudahkan penyediaannya supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” katanya.

Menurutnya, produk itu boleh disediakan menggunakan kaedah tradisional atau ketuhar gelombang mikro, sekali gus memudahkan pengguna menikmati makanan warisan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lebih setahun menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum produk itu berjaya dihasilkan.

Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila produk tersebut muncul johan dalam Pertandingan Keakrifan Inovasi Borneo di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, produk yang mula dipasarkan awal tahun ini menerima sambutan menggalakkan dengan jualan mencecah 400 cawan bagi setiap ekspo, termasuk daripada pengguna di Brunei.

“Ramai pengguna berterima kasih kerana ambuyat kini lebih mudah disediakan. Produk ini boleh didapati menerusi Facebook, Shopee dan TikTok, selain di ekspo yang kami sertai,” katanya.

Beliau berkata, produk berkenaan direka supaya mudah disediakan oleh pengguna, sekali gus mengurangkan risiko kegagalan dalam proses penyediaan ambuyat.

Syazwani berharap inovasi itu dapat memperluas pasaran ambuyat ke luar Sabah, selain membantu meningkatkan ekonomi komuniti sagu, nelayan dan petani kampung yang terlibat dalam penghasilan produk berkenaan.

Pesta Ambuyat Angkat Warisan Kulinari ke Pentas Pelancongan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penganjuran Pesta Ambuyat bukan sekadar mengetengahkan makanan tradisional, malah menjadi usaha memelihara warisan kulinari masyarakat Brunei di Sabah agar terus dikenali dan diwarisi generasi akan datang.

Katanya, festival itu memberi ruang kepada masyarakat mengenali keunikan ambuyat serta kepelbagaian hidangan sampingan yang menjadi pelengkap sajian tradisional berkenaan, termasuk pelbagai jenis sayur-sayuran, umbut, lauk-pauk dan pencicah.

Arifin ketika ditemui media.

“Ini salah satu cara untuk kita memperkenalkan dan melestarikan makanan tradisi. Kita perkenalkan kepada generasi muda bagaimana masyarakat Brunei menyediakan sajian tambahan atau hidangan iringan bagi ambuyat,” katanya.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut dan Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) berkata, pertandingan sajian ambuyat turut memberi peluang kepada masyarakat mengetengahkan kepelbagaian resipi serta kaedah penyediaan hidangan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan keunikan warisan makanan berkenaan terus dikenali dan tidak dilupakan.

Mengulas potensi festival itu, beliau berharap Pesta Ambuyat dapat dikembangkan sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di Membakut, khususnya sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Arifin (dua dari kiri) mengiringi isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin (depan, tiga dari kanan) melawat ke reruai Sharifah.

“Insya-Allah, kita akan perjuangkan supaya Pesta Ambuyat menjadi salah satu daya tarikan di kawasan kita dan menyokong usaha Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.

Beliau berharap penganjuran festival berkenaan dapat terus diperkasakan pada masa hadapan menerusi penambahbaikan program serta penglibatan lebih ramai masyarakat, sekali gus menjadikan Pesta Ambuyat sebagai platform berterusan untuk memartabatkan warisan kulinari Borneo.

Mempertahankan Warisan, Mewariskan Tradisi

Kelangsungan ambuyat sebagai warisan kulinari Borneo memerlukan komitmen bersama, bukan sahaja daripada pengusaha makanan dan penganjur festival, malah keluarga serta komuniti setempat.

Penganjuran Pesta Ambuyat menjadi platform penting untuk memperkenalkan keunikan hidangan itu kepada masyarakat lebih luas, khususnya generasi muda.

Pada masa sama, inovasi produk membuktikan makanan tradisional mampu berkembang dan menembusi pasaran lebih luas tanpa mengetepikan nilai warisan serta keasliannya.

Namun, usaha paling penting ialah memastikan kemahiran penyediaan, resipi dan tradisi menikmati ambuyat terus diwariskan dalam keluarga dan masyarakat.

Akhirnya, ambuyat bukan sekadar makanan berasaskan sagu, tetapi lambang identiti, budaya dan kebersamaan masyarakat Borneo yang wajar dipelihara agar terus menjadi warisan generasi akan datang.

LEAVE A RESPONSE