PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 39 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Tanaki, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.34 malam, 6 November itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Putatan menuju ke Inobong dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat,” kataya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni menerusi talian 019-8095133 bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang, khususnya ketika melalui kawasan pembinaan jalan raya pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.





