Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Rawatan pesakit berdasarkan tahap kecemasan, keutamaan kes segera – HQE 1

KOTA KINABALU : Pengendalian pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 adalah berdasarkan penilaian tahap kecemasan dan keutamaan diberikan kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera.

Pengarah HQE 1 Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis berkata, tempoh menunggu mungkin berbeza bergantung pada keadaan klinikal pesakit, jumlah kehadiran pesakit serta keperluan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pihak hospital juga ingin menjelaskan bahawa proses pengendalian pesakit merangkumi pemeriksaan klinikal, semakan keputusan ujian serta rujukan kepada jabatan kepakaran berkaitan, mengikut keperluan setiap kes.

“Pesakit yang mengalami perubahan keadaan kesihatan semasa menunggu disarankan untuk memaklumkan petugas dengan segera bagi membolehkan penilaian semula dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran yang tular di media sosial berhubung tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan di JKT HQE baru-baru ini.

Abd Kahar berkata, pihak hospital memahami kebimbangan yang dibangkitkan dan amat menghargai maklum balas orang ramai dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Katanya, pihaknya akan terus memantau pengurusan aliran pesakit dan meneliti langkah penambahbaikan yang bersesuaian bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan.

“Segala kesulitan yang dialami amatlah dikesali. Pihak hospital kekal komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti kepada masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE