KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazalie, melawat mangsa kebakaran Kampung Darau yang sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, selepas solat Jumaat hari ini.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Sabah dari 21 hingga 24 Ogos, selain turut menyampaikan sumbangan tunai kepada mangsa bagi meringankan beban susulan kejadian berkenaan.
Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga sekeluarga ditemukan rentung manakala seorang lelaki berusia 34 tahun cedera melecur selepas sebuah rumah dua tingkat di Kampung Darau, Menggatal, terbakar sepenuhnya.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Lawatan itu turut mencerminkan keprihatinan J-KOM terhadap kebajikan mangsa dan keluarga yang terjejas akibat kejadian berkenaan.






