Read Time:2 Minute, 4 Second
KOTA KINABALU: Pasukan menembak Sabah meletakkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang akan berlangsung dari 17 hingga 22 Ogos ini.
Pengurus pasukan Jeffrey Wong berkata, sasaran tersebut melibatkan acara pistol wanita, raifal lelaki dan raifal wanita, dengan harapan sekurang-kurangnya satu daripada pingat yang dimenangi adalah emas.
Menurutnya, sasaran itu selaras dengan penetapan Majlis Sukan Negeri (MSN) yang menyandarkan harapan pingat emas menerusi acara pistol wanita.

“Kami menyasarkan tiga pingat pada SUKMA kali ini. Acara yang menjadi sandaran ialah pistol wanita, raifal lelaki dan raifal wanita.
“Kami tidak boleh menjanjikan warna pingat yang akan diperoleh, tetapi sasaran kami adalah membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat. Berdasarkan sasaran MSN, satu daripadanya diharapkan adalah pingat emas menerusi acara pistol wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media sebelum pelepasan pasukan ke Selangor bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan terbesar negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, beliau berkata atlet Sabah telah memulakan latihan sejurus selepas tamat SUKMA di Sarawak dua tahun lalu dengan jadual latihan secara konsisten setiap minggu.

Katanya, latihan dipertingkatkan dalam tempoh dua bulan terakhir menjelang temasya apabila atlet menjalani latihan intensif selama enam hari seminggu melibatkan sesi pagi, petang dan malam.
“Persiapan kami bermula sejak tamat SUKMA lalu. Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, atlet menjalani latihan intensif hampir setiap hari bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada persiapan akhir, pasukan menembak Sabah turut mengikuti kem latihan di Kuching, Sarawak bagi menyesuaikan diri dengan penggunaan sistem sasaran elektronik yang akan digunakan pada SUKMA kali ini.
Menurut beliau, perubahan daripada sasaran kertas kepada sistem elektronik memerlukan atlet menyesuaikan teknik dan pendekatan pertandingan.
“Kami mengadakan latihan dan pertandingan kecil bersama pasukan Sarawak untuk membiasakan atlet dengan sistem elektronik kerana ia berbeza daripada yang digunakan pada SUKMA sebelum ini,” katanya.
Pada SUKMA Sarawak 2024, pasukan menembak Sabah berjaya membawa pulang satu pingat gangsa menerusi acara raifal wanita.
Kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat skuad negeri untuk memperbaiki pencapaian dan menambah kutipan pingat pada edisi kali ini.
Seramai 11 atlet, terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita, akan mewakili Sabah dalam acara pistol lelaki, pistol wanita, raifal lelaki dan raifal wanita selain turut mengambil bahagian dalam acara baharu 50 meter Prone bagi kategori lelaki dan wanita.
Pasukan itu turut dibantu tiga jurulatih, seorang pengurus pasukan dan seorang pengiring senjata bagi memastikan segala urusan berkaitan pertandingan berjalan lancar sepanjang temasya berlangsung. – SABAH MEDIA






