Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Simpanan kecil ubah nasib suri rumah, rezeki RM1 juta tidak disangka

Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Bagi seorang suri rumah dari Tawau, simpanan yang dibuat secara sederhana untuk kegunaan masa depan akhirnya mengubah kehidupan keluarganya apabila memenangi hadiah RM1 juta menerusi Cabutan Jutawan Sijil Simpanan Premium (SSP) ke-126.

Octoviana Perdes Nelson, 53, yang menetap di Taman Semarak, Tawau, berkata beliau tidak pernah menyangka simpanan yang dimulakan pada 2023 itu membawa rezeki besar, malah kemenangan berkenaan diterima ketika keluarganya melalui pelbagai ujian.

“Saya mula simpan sekitar Februari 2023. Pada mulanya saya tidak terfikir pun boleh menang. Saya cuma mahu menyimpan untuk masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa, Octoviana mencari pendapatan dengan mengambil upah menjahit dari rumah. Sebahagian daripada hasil jahitan itu disimpan, manakala selebihnya digunakan untuk keperluan harian keluarga.

Beliau berkata, idea untuk menyimpan dalam SSP tercetus selepas kerap menemani seorang ibu saudaranya berurusan di BSN.

“Saya selalu hantar dan temankan makcik saya ke BSN. Dari situ saya diberitahu mengenai SSP dan saya mula menyimpan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Octoviana berkata, simpanan awalnya berjumlah RM25,000 dan beliau tidak terlalu memikirkan soal kemenangan, sebaliknya membiarkan wang berkenaan disimpan.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah apabila menerima panggilan memaklumkan beliau sebagai pemenang jutawan.

Menurutnya, pada awalnya beliau menyangka panggilan itu mungkin daripada scammer, malah anaknya turut menasihatkan supaya tidak menjawab panggilan tersebut.

“Saya angkat juga dan orang itu beritahu saya pemenang jutawan. Saya tidak percaya. Saya kata, betulkah ini? Saya hanya benar-benar percaya selepas pergi ke BSN pada hari Isnin dan kakitangan menyambut saya dengan tepukan serta mengucapkan tahniah,” katanya.

Kemenangan itu turut mengimbau kembali kata-kata arwah bapanya, Pides Nelson, beberapa hari sebelum meninggal dunia pada 15 Mac lalu.

Menurut Octoviana, ketika menjaga bapanya yang menerima rawatan di hospital, arwah pernah berkata kepadanya, “Anna, kau jutawan”.

“Saya pun teringat balik kata-kata bapa. Masa dia cakap itu, saya rasa macam betul pula,” katanya.

Lebih bermakna, rezeki berkenaan hadir selepas keluarganya pernah melalui tragedi apabila rumah mereka di Taman Semarak, Tawau, musnah dalam kebakaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika kejadian, Octoviana dan keluarganya menetap di Kajang, manakala rumah berkenaan masih belum dapat disiapkan sepenuhnya kerana kekangan kewangan.

“Memang saya bersyukur. Rumah itu belum habis siap dan adik-beradik banyak membantu. Jadi perkara pertama yang saya fikir ialah melangsaikan hutang dengan adik-beradik dan menyiapkan rumah,” katanya.

Selain itu, beliau bersama adik-beradiknya merancang menggunakan sebahagian daripada rezeki tersebut untuk membangunkan kedai makan dan perniagaan keluarga di Balung, Tawau.

Antara rancangan yang dicadangkan ialah kedai runcit dan perniagaan makanan termasuk sate Kokos yang sememangnya sudah dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.

Octoviana berkata, pengalaman itu turut mengajarnya supaya tidak memandang kecil nilai simpanan, walaupun bermula daripada jumlah yang sederhana.

“Saya nasihatkan suri rumah lain, mulakan dari rumah. Kalau ada pendapatan daripada menjahit atau kerja lain, jangan gunakan semuanya. Simpan sebahagian dan gunakan sebahagian untuk keperluan.

“Walaupun sedikit, mula menabung dari sekarang. Yang penting kena sabar dan yakin,” katanya.

LEAVE A RESPONSE