Read Time:1 Minute, 35 Second
KOTA KINABALU: Perkhidmatan kesihatan di Sabah masih berjalan dengan baik walaupun negeri ini berdepan cabaran kekurangan pakar perubatan yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraam Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, keadaan itu tidak menjejaskan keupayaan sistem kesihatan negeri untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, usaha bagi memperkukuhkan perkhidmatan pakar perubataan di negeri ini tetap diteruskan.
“Setakat ini kita boleh katakan yang kita masih boleh berfungsi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sepepas merasmikan program Sabah Sihat 2.0 di sini pada Sabtu.
Julita berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai kehilangan lebih 100 pakar perubatan setiap tahun di negara ini.
Menurut beliau, Sabah bukan sahaja telah lama berhadapan dengan isu kekurangan pakar, malah kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan.
“Saya tidak mempunyai data yang tepat untuk Sabah, tetapi seperti yang saya katakan, ini bukan cabaran yang baharu.
“Memang kita sedang berusaha untuk meningkatkan khidmat-khidmat pakar yang ada di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kekangan tenaga pakar masih wujud, keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus mendapat akses kepada rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut mengalihkan tumpuan kepada usaha memperkukuhkan penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit sebagai strategi jangka panjang untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan.
Katanya, masyarakat perlu didorong mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan penyakit, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rawatan pakar.
“Kalau kemudahan dan perkhidmatan pakar menjadi satu cabaran kepada kita, maka pendekatan terbaik ialah membawa masyarakat ke arah kehidupan yang lebih aktif, menjaga kesihatan secara menyeluruh dan memberi penekanan kepada pencegahan penyakit.
“Kita bukan hanya mahu memberi tumpuan kepada rawatan, tetapi juga memastikan usaha pencegahan diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkukuhkan sektor kesihatan di Sabah agar perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekurangan tenaga pakar.






