KENINGAU: Empat individu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM900,000 sebagai balasan membantu urusan jual beli tanah.
Suspek terdiri daripada seorang bekas pegawai adat, penjawat awam dan dua broker tanah.
Perintah reman sehingga 27 Ogos itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Keningau pagi tadi.
Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan antara jam 4 petang dan 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Keningau.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan tersebut.
Mohd Fuad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.
“Suspek yang merupakan bekas pegawai adat dan penjawat awam dipercayai menerima rasuah daripada dua broker tanah sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah yang dikendalikan oleh kedua-dua broker berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati tanah yang terlibat dalam urusan tersebut merupakan milik individu lain dan tidak pernah ditawarkan untuk dijual,” katanya.






