Read Time:1 Minute, 8 Second
KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 akan ditutup mulai esok.
KPM dalam kenyataan media pada Khamis berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Menurut kementerian itu, penutupan turut dilaksanakan bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, bermula Isnin, 12 Oktober 2026.
“KPM menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda di negara ini,” katanya.
KPM berkata, sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas akibat penutupan berkenaan dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan PdPR, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian.
“Pelaksanaan ini perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” katanya.
Dalam pada itu, KPM memaklumkan guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
Langkah berkenaan dilaksanakan bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga pendidikan kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.
KPM berkata, pihaknya akan terus memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan warga pendidikan dalam menghadapi situasi jerebu ketika ini.





