Read Time:1 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan penemuan mayat seorang lelaki tidak dikenali di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya, pada 5 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil tindakan pantas polis, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun berjaya dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian mangsa.
Katanya, kejayaan itu hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama IPD Lahad Datu menerusi “Op Kejam/Op Kesan”.
“Suspek utama berjaya ditahan pada 7 Mei lalu ketika menaiki sebuah bas di Terminal Bas Reno Fajar, Lahad Datu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau sebelum mengikat kaki mangsa dan membuangnya ke laut berhampiran rumah suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kehilangan barang milik keluarga suspek.
Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang ditemui di dasar laut berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.
“PDRM merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi ini serta orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kes berjaya diselesaikan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.






