Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pelajar PSS wakili Malaysia jayakan misi SDG di Indonesia


Read Time:1 Minute, 41 Second

SANDAKAN: Lima pelajar cemerlang dari Politeknik Sandakan Sabah (PSS) dipilih mewakili Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Malaysia dalam program Latihan Industri dan Khidmat Komuniti Antarabangsa di Malang, Indonesia.

Mereka menyertai 16 pelajar lain daripada Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS) dan Kolej Komuniti Arau bagi menjayakan misi antarabangsa yang memfokuskan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat komuniti.

Program selama 11 minggu bermula 1 April hingga 16 Jun 2026 itu berlangsung di Desa Plaosan, Malang, Jawa Timur, menerusi kerjasama strategik bersama Institut Teknologi dan Bisnis Asia (ITBA) Malang.

Delegasi Malaysia memainkan peranan dalam usaha memperkukuh transformasi hijau berteraskan beberapa matlamat utama SDG melalui pendekatan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Lima pelajar PSS yang dipilih ialah Erikha Erlion, Andikah Nurhayat Razanali dan Chalwin Sinoh daripada Diploma Agroteknologi, manakala Mohamad Taufiq Hidayat Mohd Yusoff serta Nur Aisyah Saiful Bahari daripada Diploma Teknologi Akuakultur.

Melalui kepakaran dalam bidang agroteknologi dan akuakultur, pelajar terbabit melaksanakan beberapa inisiatif yang memberi impak jangka panjang kepada komuniti setempat.

Antaranya termasuk pembangunan rangkaian kebun rumah lestari atau Tanaman Obat Keluarga (TOGA) serta sistem pengkomposan sisa organik bagi meningkatkan sekuriti makanan dan mengurangkan pembaziran, selari dengan SDG 2 (Kelaparan Sifar) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Selain itu, program berkenaan turut menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) menerusi pemindahan teknologi dan kemahiran TVET secara praktikal kepada komuniti luar bandar.

Kerjasama rentas sempadan antara POLYCC Malaysia, ITBA Malang, pihak berkuasa tempatan dan industri pula memperkukuh SDG 17 iaitu Kerjasama Demi Matlamat.

Pengarah PTSS, Khairul Anuar Ishak, berkata program itu menterjemahkan agenda strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan TVET Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita bukan sahaja melahirkan graduan kompeten, malah ejen perubahan global yang membawa solusi lestari berasaskan SDG demi kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan kesinambungan projek, setiap inisiatif diselia menerusi sistem mentor berkembar melibatkan akademik dan industri selain disokong dokumentasi teknikal lengkap.

Katanya, pendekatan itu membolehkan komuniti Desa Plaosan mengurus serta mengembangkan sistem yang diperkenalkan secara berdikari demi kelangsungan ekonomi setempat.

LEAVE A RESPONSE