Read Time:1 Minute, 24 Second
SHAH ALAM : Kontinjen Sabah meletakkan sasaran memburu lima lagi pingat emas pada hari keenam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi beberapa acara yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kejayaan buat negeri itu.
Lima sasaran emas itu melibatkan acara bola sepak wanita, olahraga dan petanque yang dijadual berlangsung hari ini.
Harapan utama Sabah tertumpu kepada pasukan bola sepak wanita yang bakal beraksi dalam perlawanan akhir acara berpasukan wanita di Stadium Selayang dan Stadium MPHS.
Pasukan itu dijadual turun beraksi pada jam 8.30 malam ini bagi menentukan kedudukan pingat emas.
Dalam acara olahraga di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), tiga atlet Sabah turut disenaraikan sebagai prospek emas.
Alya Marissa Maizul Anuar akan bersaing dalam acara akhir 10,000 meter wanita pada jam 7 pagi, manakala Nabil Faiz Bin Ayub menggalas cabaran dalam acara baling tukul besi lelaki pada jam 9 pagi.
Seorang lagi atlet, Ku Yee Aleng, dijadual beraksi dalam acara akhir lompat tinggi pada jam 3 petang dengan harapan dapat menambah koleksi pingat emas Sabah.
Sementara itu, acara petanque turut menawarkan peluang kepada Sabah menerusi gandingan Leeyana Fitrialesya Kamrudin dan Nurul Aina Ali Asmat dalam acara double wanita di Arena Petanque Kuala Selangor.
Bagaimanapun, pasangan itu perlu melepasi pusingan kelayakan sebelum beraksi dalam peringkat akhir yang dijadual bermula jam 9.50 pagi.
Secara keseluruhan, Sabah menyenaraikan lima prospek emas bagi hari ini, walaupun tiga lagi prospek sebelum ini disahkan tidak layak meneruskan cabaran.
Sebanyak 468 pingat emas, 468 pingat perak dan 586 pingat gangsa dipertandingkan sepanjang SUKMA XXII Selangor 2026.
Bagi saingan hari ini sahaja, sebanyak 61 pingat emas, 61 pingat perak dan 83 pingat gangsa menjadi rebutan atlet dari seluruh negara. – SABAH MEDIA






