Read Time:2 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Seramai 4,026 usahawan wanita di Sabah menerima manfaat daripada pelbagai program keusahawanan anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sejak 2022.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, pencapaian itu membuktikan impak positif usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi golongan wanita di negeri ini.
Beliau berkata, pelbagai pendekatan dilaksanakan menerusi program berkenaan, termasuk latihan, promosi usahawan, bantuan geran peralatan dan program pemasaran bagi membantu usahawan wanita memperkukuh perniagaan masing-masing.
“Program-program tersebut bertujuan membantu usahawan wanita memperkukuh perniagaan, meningkatkan keupayaan operasi serta memperluas peluang pasaran.

“Pencapaian ini merupakan gambaran jelas bahawa usaha pemerkasaan ekonomi wanita yang dilaksanakan secara berterusan telah memberi impak positif dalam melahirkan lebih ramai wanita yang berani menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Blooming Womenpreneurs Gala 2026 di sini.
Menurut Julita, usaha memperkasa usahawan wanita perlu diteruskan supaya lebih ramai wanita bukan sahaja mampu memulakan perniagaan, malah berupaya mengembangkan perusahaan kecil menjadi perniagaan yang lebih berdaya saing.
Katanya, kejayaan agenda itu turut memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam memastikan usahawan wanita mendapat akses kepada peluang serta sumber yang diperlukan.
“Pembangunan usahawan wanita memerlukan sokongan daripada seluruh ekosistem.
“Justeru, saya menyeru agar kerjasama antara kerajaan, jabatan dan agensi, institusi kewangan, sektor swasta serta rakan strategik terus diperkukuhkan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada wanita Sabah untuk berkembang dalam bidang keusahawanan.
“Kita perlu memastikan lebih ramai wanita mempunyai akses kepada ilmu, sumber, teknologi dan pasaran agar mereka mampu bersaing dalam ekonomi yang semakin mencabar,” katanya.
Julita berkata, pemerkasaan ekonomi wanita bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan berkenaan, malah turut memberi kesan positif kepada keluarga, komuniti dan pembangunan negeri Sabah secara keseluruhannya.
“Saya percaya, apabila wanita diperkasa dari aspek ekonomi, mereka bukan sahaja mampu meningkatkan taraf kehidupan sendiri, malah turut menyumbang kepada keluarga, komuniti dan pembangunan negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Biz Bloom, iaitu penjenamaan semula program keusahawanan JHEWA bagi memperkukuh agenda pemerkasaan usahawan wanita di Sabah.
Pada majlis sama, Julita turut menyampaikan Anugerah Usahawan Wanita Sabah kepada empat penerima yang diiktiraf atas pencapaian dan sumbangan masing-masing dalam bidang keusahawanan.
Usahawan kraftangan, Renny@Anna Jeneble@Damis menerima Anugerah Usahawan Sosial, manakala Tasyareena Jekar menerima Anugerah Usahawan Seni Kreatif.
Sementara itu, usahawan dalam bidang fotografi dan videografi profesional, Ramlah Ahmad menerima Anugerah Usahawan Muda Berpotensi, manakala usahawan kosmetik, Sitti Fatimah Janna menerima Anugerah Ikon Usahawan Wanita.
Turut hadir, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Zainal; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong; serta Pengarah JHEWA, Haslina Ismail.






