Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tukar pemandu, lupa letak gear P, SUV rempuh KKIA

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Panik apabila SUV bergerak ketika hendak bertukar pemandu menyebabkan wanita berusia 66 tahun itu dipercayai terlupa gear berada pada kedudukan P sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak hingga kenderaan meluncur dan merempuh pintu kaca KKIA, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.55 petang ketika wanita terbabit berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan hendak bertukar pemandu sebelum keluar dari kenderaan tanpa meletakkan tuil gear pada kedudukan parkir (P).

“Ketika cuba keluar dari kenderaan, SUV berkenaan bergerak secara perlahan menyebabkan pemandu panik dan secara tidak sengaja menekan pedal minyak sehingga kenderaan meluncur laju ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrudin berkata, SUV berkenaan kemudian melanggar sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan merempuh pintu kaca bahagian pelepasan (departure hall) KKIA, seterusnya melanggar sebuah tiang bangunan.

Katanya, pemandu sempat keluar dari kenderaan sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka akibat terkena serpihan kaca.

“Pemandu kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shahrudin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkannya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

LEAVE A RESPONSE