Read Time:1 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU: Bekalan air dan pembangunan jalan raya dijangka terus menerima antara peruntukan terbesar dalam Belanjawan Sabah 2027 bagi menangani keperluan infrastruktur asas di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedua-dua sektor itu sememangnya memerlukan peruntukan besar setiap tahun berikutan skala pembangunan dan kerja menaik taraf infrastruktur yang perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan mutu bekalan air di Sabah, termasuk melalui peruntukan besar bagi tujuan menaik taraf sistem sedia ada.
“Seperti biasa, peruntukan besar memang antaranya untuk air dan jalan raya. Kedua-duanya melibatkan peruntukan terbesar setiap tahun.
“Kita juga memperuntukkan antara jumlah terbesar bagi tujuan menaik taraf bekalan air di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Deepavali peringkat negeri di sini pada Ahad.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha menyelesaikan masalah infrastruktur tidak dapat dilakukan dalam tempoh singkat kerana sesetengah projek memerlukan masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan.
Katanya, kerajaan negeri memahami cabaran yang dihadapi pengguna, khususnya berkaitan gangguan bekalan air, namun pelaksanaan projek penambahbaikan memerlukan perancangan dan tempoh masa tertentu.
“Kadang-kadang kita mulakan pada tahun ini, mungkin mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkannya. Jadi, saya harap pengguna air dapat bersabar,” katanya.
Mengulas sama ada peruntukan bagi sektor berkenaan akan meningkat berbanding tahun sebelumnya, Masidi mengesahkan jumlahnya dijangka jauh lebih besar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek pelaksanaan menjadi perkara paling penting bagi memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
Katanya, setiap ringgit yang dibelanjakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya, manakala pihak yang diberikan tanggungjawab melaksanakan projek perlu memastikan kerja dilaksanakan dengan baik.





