Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Wanita tersalah tekan pedal, Proton X70 rempuh ruang pelepasan KKIA

Read Time:1 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia lingkungan 60-an cedera ringan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandunya dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum merempuh ruang pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, difahamkan mangsa berada di lapangan terbang berkenaan bagi menghantar anak lelakinya yang akan berlepas ke Kuala Lumpur.

Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan diberi rawatan awal sebelum dibawa menaiki ambulans ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

“Kejadian berlaku di tingkat tiga, ruangan pelepasan atas, tiada kecederaan melibatkan orang awam dalam kejadian itu. Hanya mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan Proton X70 yang dipandunya merempuh pintu lalu masuk ke ruang pelepasan lapangan terbang berkenaan.

Tinjauan Sabah Media di lokasi mendapati keadaan terkawal dengan kehadiran anggota polis yang mengawal kawasan bagi memastikan keselamatan orang ramai serta kelancaran pergerakan di ruang pelepasan.

Orang ramai yang berada di lokasi ketika kejadian juga tidak panik dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, manakala kerja-kerja mengalihkan kenderaan serta pemeriksaan di lokasi dijalankan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan.

LEAVE A RESPONSE