Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ibu dipenjara dera anak, bapa nafi empat pertuduhan rogol

Read Time:2 Minute, 48 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang ibu mengaku bersalah mendera anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, manakala suaminya mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan merogol kanak-kanak sama di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Wanita berusia 29 tahun itu dan suaminya, 34, dihadapkan secara berasingan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.

Si ibu dijatuhi hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 22 Oktober lalu dan denda RM10,000 atau penjara tambahan 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun berjumlah RM2,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin, selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Wanita itu juga diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam selepas dibebaskan dari penjara.

Mengikut pertuduhan, si ibu didakwa menganiaya anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di kawasan tempat letak kenderaan sebuah perumahan di daerah Penampang, antara jam 12 tengah hari hingga 12.05 tengah hari pada 22 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, suaminya yang bekerja sebagai penjual bakso dan merupakan pemegang dokumen IMM13 didakwa merogol anak perempuannya masing-masing pada Februari, April, Mei dan Oktober tahun ini di sebuah rumah di daerah Penampang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk pengurusan kes praperbicaraan. Tiada jaminan dibenarkan dan tertuduh yang tidak diwakili peguam akan terus ditahan reman sementara menunggu tarikh berkenaan.

Berhubung kes penderaan oleh ibu mangsa, fakta kes menyatakan kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu dihantar pulang oleh ibu saudaranya selepas bermalam di rumah wanita berkenaan sejak 20 Oktober.

Mangsa yang takut untuk pulang ke rumah memeluk erat ibu saudaranya sebelum tertuduh bertindak agresif dengan menampar muka dan kepala, menarik rambut serta menggigit beberapa bahagian tubuh kanak-kanak itu.

Kejadian itu disaksikan seorang pengadu yang merakam tindakan tertuduh menggunakan telefon bimbit sebelum membuat laporan polis.

Rakaman berkenaan kemudian tular di media sosial dan mengundang kecaman serta kemarahan orang ramai.

Susulan laporan berkenaan, polis menahan tertuduh pada hari sama, manakala mangsa diselamatkan dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk lebam, calar dan kesan gigitan pada tubuhnya, selain kesan luka lama.

Mangsa turut didiagnosis mengalami Kecelaruan Stres Pascatrauma (PTSD) akibat penderaan berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati mangsa mengalami penderaan fizikal sejak berusia tujuh tahun, termasuk dipukul menggunakan penyangkut baju plastik dan sebatang kayu yang disimpan di belakang pintu rumah, selain dicubit serta digigit.

Mangsa tidak pernah menceritakan penderaan itu kepada sesiapa kerana terlalu takut akibat ugutan yang sering dibuat oleh tertuduh.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai tiga anak kecil yang kini dijaga ibunya, termasuk anak bongsu yang masih menyusu. Tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah berhubung suaminya yang berada dalam tahanan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafferah Mad Iskim bagaimanapun memohon hukuman penjara dan denda sebagai langkah pencegahan, dengan mengambil kira penderaan berulang sejak mangsa berusia tujuh tahun serta kecederaan fizikal dan trauma psikologi yang dialaminya.

Beliau turut menekankan pelanggaran serius terhadap tanggungjawab dan amanah tertuduh sebagai ibu kandung.

LEAVE A RESPONSE