Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Jerebu: Kesihatan dan keselamatan murid jadi keutamaan, sekolah perlu pantau IPU

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Keselamatan dan kesihatan murid perlu menjadi keutamaan semua pihak susulan pembukaan sesi persekolahan hari ini ketika beberapa kawasan di Sabah berdepan situasi jerebu.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta sentiasa memantau perkembangan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Beliau berkata, pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya berkaitan pelaksanaan aktiviti murid ketika bacaan IPU meningkat.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti murid di luar bilik darjah termasuk aktiviti sukan dan kokurikulum hendaklah dihentikan atau ditangguhkan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah di kawasan atau daerah yang terlibat hendaklah ditutup serta-merta demi keselamatan dan kesihatan murid.

Katanya, pihak sekolah juga perlu memberi perhatian terhadap murid yang menunjukkan tanda-tanda kurang sihat seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak, pedih mata atau mengalami kesukaran bernafas.

“Sekiranya terdapat murid yang mengalami gejala berkenaan, pihak sekolah perlu segera menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Arif menasihatkan ibu bapa supaya memantau tahap kesihatan anak-anak sebelum menghantar mereka ke sekolah, terutama ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Beliau berkata, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak memakai pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya serta mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika keadaan udara tidak sihat.

“Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada murid yang mempunyai masalah kesihatan dan lebih sensitif terhadap pencemaran udara,” katanya.

Beliau turut menyeru pihak sekolah dan ibu bapa supaya mendapatkan maklumat berkaitan bacaan IPU daripada sumber rasmi dan tidak bergantung kepada maklumat yang tidak disahkan di media sosial.

Menurutnya, dalam situasi jerebu, aspek kehadiran murid ke sekolah tidak seharusnya mengatasi kepentingan kesihatan dan keselamatan mereka.

“Kesihatan dan keselamatan anak-anak mesti menjadi keutamaan bersama,” katanya.

Mohammad Arif berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan setiap tindakan dapat dibuat dengan cepat dan teratur sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

LEAVE A RESPONSE